ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: ALVIN & ALI DIMINTA SERAH PASPORT

Friday 12 December 2014

ALVIN & ALI DIMINTA SERAH PASPORT

Alvin, Ali

PUTRAJAYA - Blogger kontroversi Alvin Tan dan aktivis politik Ali Abdul Jalil diminta hadir ke Jabatan Imigresen Malaysia atau Pejabat Perwakilan Malaysia yang terdekat bagi menyerahkan pasport masing-masing.
   
Jabatan Imigresen Malaysia dalam kenyataan hari ini berkata ini adalah kerana pasport Malaysia Antarabangsa milik Ali bernombor A32104821 dan Alvin Tan atau nama sebenarnya Tan Jye Yee bernombor A32765005 telah ditarik balik berkuat kuasa 9 Disember lepas.
   
Penarikan pasport Tan dan Ali merupakan kes pertama dilakukan Jabatan Imigresen Malaysia.
   
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Mustafa Ibrahim sebelum ini dilaporkan berkata  pasport adalah hak milik kerajaan Malaysia dan ia boleh ditarik balik pada bila-bila masa.
   
Beliau juga berkata Jabatan Imigresen tidak akan teragak-agak mengambil tindakan kepada mereka yang menghina mahkamah, Islam dan Raja-raja.
   
Tan melarikan diri ke Amerika Syarikat bagi mendapatkan perlindungan politik dan mengelak daripada ditahan pihak berkuasa di Malaysia atas kesalahan-kesalahan yang dilakukan termasuk di bawah Akta Hasutan kerana mempersendakan agama Islam dan bulan Ramadan serta mempersendakan institusi beraja melalui laman Facebooknya.
   
Ali pula melarikan diri ke Sweden bagi mendapatkan perlindungan politik. Ali berdepan tuduhan menghasut kerana menghina institusi Raja di negara ini melalui laman Facebooknya.
Bernama

No comments:

Post a Comment