ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: " SAYA TIDAK AKAN BERTANDING REBUT KERUSI PRK #PENGKALANKUBOR " - SAIFUDDIN NASUTION

Friday 5 September 2014

" SAYA TIDAK AKAN BERTANDING REBUT KERUSI PRK #PENGKALANKUBOR " - SAIFUDDIN NASUTION


Petaling Jaya - Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Saifuddin Nasution Ismail mempunyai banyak perkara untuk dilakukan dan tidak akan dinamakan sebagai calon parti pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Pengkalan Kubor.

Menafikan khabar angin bahawa beliau akan dinamakan, Saifuddin berkata: ‘Tidak, tidak sama sekali. Saya bukan calon. Saya tidak akan bertanding. Saya mempunyai banyak tugas untuk dilakukan’.

Malah Saifuddin berkata, beliau tidak tahu mengenai khabar angin itu.

Ketika PKR dan PAS bergelut mengenai kerusi Pengkalan Kubor, spekulasi bahawa Saifuddin merupakan calon pilihan partinya untuk bertanding dalam PRK itu tersebar.

Saifuddin, 50, tidak asing lagi di negeri Kelantan kerana beliau pernah menjadi Ahli Parlimen Machang dari 2008 hingga tahun lalu.

Kerusi Pengkalan Kubor kosong ekoran kematian penyandangnya, Datuk Noor Zahidi Omar dari Barisan Nasional (BN) pada 20 Ogos akibat penyakit kanser.

Saifuddin berkata, Majlis Pimpinan Pusat PKR yang bermesyuarat pada Selasa bersetuju parti itu perlu bertanding untuk kerusi tersebut seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

“PKR Kelantan mencadangkan bahawa kami menamakan calon pada PRK kali ini dan kepimpinan pusat mempersetujuinya. Kami akan membawa perkara ini kepada kepimpinan PAS untuk keputusan akhir,” katanya.

PAS turut mengintai untuk bertanding di kerusi tersebut dan yakin boleh menawan semula kerusi yang pernah mereka menangi pada 1999.

Saifuddin berkata walaupun PKR dan PAS berminat dengan kerusi Pengkalan Kubor, hanya satu parti dari Pakatan Rakyat akan bertanding.

“Ia sama ada PKR atau PAS, bukan kedua-duanya. Mana-mana parti yang bertanding akan mendapat sokongan daripada parti lain dalam Pakatan Rakyat,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata kedua-dua parti akan duduk dan berbincang mengenai calon yang akan bertanding.

Namun, beliau menegaskan Pakatan perlu mengatur semula strategi sekiranya mahu memenangi kerusi tersebut.

“Kadang kala, kita perlu melihat semula rancangan dan memikirkan bagaimana untuk mendapat kemenangan besar. Tiada masalah tentang perkara itu. Apa yang penting adalah keputusan akhir,” katanya.
SuaraTV

No comments:

Post a Comment