ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: GAMBAR PELAJAR ISLAM DALAM GEREJA BUKAN DI MALAYSIA - PDRM

Saturday, 7 June 2014

GAMBAR PELAJAR ISLAM DALAM GEREJA BUKAN DI MALAYSIA - PDRM


PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan gambar sekumpulan penganut Islam yang terlibat dalam aktiviti keagamaan di sebuah gereja yang tersebar di laman media sosial bukan berlaku di Malaysia.

Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Asisten Komisioner Asmawati Ahmad berkata, polis setakat ini tidak menerima sebarang laporan rasmi berhubung isu tersebut.

"Penyebaran gambar-gambar melalui media sosial yang seakan-akan cuba membayangkan bahawa sekumpulan muslim terlibat dalam aktiviti keagamaan di sebuah gereja, telah mencetuskan kegusaran dan ketidaktenteraman di kalangan masyarakat Islam di negara ini.

"Adalah disahkan bahawa gambar-gambar tersebut bukan melibatkan sebarang rakaman upacara yang berlaku di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Berdasarkan pemeriksaaan oleh mStar Online, gambar tersebut dirakamkan di Indonesia.

Pemilik Facebook, Gereja St.Fx.Kebon Dalem turut memuatnaik beberapa keping gambar mahasiswa Fakulti Ilmu Tarbiyah dan Keguruan IAIN Walisongo, Semarang mengadakan lawatan ke gereja tersebut pada 31 Mei lalu.

Menurut entri dalam Facebook tersebut, program itu dimulakan dengan penjelasan mengenai agama Kristian (Katolik) selain terlibat dalam upacara keagamaan mazhab tersebut.

Antara aktiviti lain yang dinyatakan semasa program itu adalah solat Magrib untuk mahasiswa beragama Islam dan sesi dialog mengenai perbezaan antara agama Islam dan Kristian.

Gambar-gambar tersebut mula tersebar di laman sosial sejak minggu lalu, menunjukkan sekumpulan remaja Islam memegang lilin di dalam sebuah gereja.

Sementara itu, laman web www.pmiigusdur.com turut menceritakan lawatan sekumpulan mahasiswa beragama Islam ke gereja tersebut.
Menurut laman web itu, lawatan untuk mempelajari dan memahami kepercayaan agama Kristian Katolik sudah lama dirancang oleh mahsiswa fakulti tersebut.

Asmawati turut menasihatkan orang ramai supaya tidak memuat naik atau menyebarkan sebarang bahan yang tidak sahih di laman sosial kerana ia boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraan awam.
MStar

No comments:

Post a Comment