ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: MH370 : KPN BIDAS MEDIA ASING GANGGU SIASATAN

Tuesday 24 June 2014

MH370 : KPN BIDAS MEDIA ASING GANGGU SIASATAN



SHAH ALAM: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar pada Isnin membidas tindakan media asing yang membuat laporan mengelirukan mengenai penerbangan MH370 sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi, sekali gus mengganggu siasatan polis.

Beliau berkata kes kehilangan pesawat Malaysia Airlines itu masih dalam siasatan dan hanya polis mempunyai maklumat sahih untuk dimaklumkan kepada umum.

"Jangan dengar media asing, kami penyiasat utama kes ini dan hanya kami yang boleh beritahu perkembangan terkini, jadi dapatkan maklumat daripada kami.

"Terlalu banyak cerita dan spekulasi, jangan dengar satu berita yang dihasilkan oleh media asing kerana ini hanya akan memburukkan keadaan," katanya kepada pemberita, di sini. 

Pada Ahad, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam satu kenyataan meluahkan rasa kesal terhadap laporan The Sunday Times United Kingdom yang membayangkan bahawa PDRM menganggap suspek utama di sebalik kehilangan pesawat itu ialah juruterbangnya Kapten Zaharie Ahmad Shah, jika kejadian tersebut disebabkan oleh manusia. 

PDRM dalam kenyataan tersebut menafikan mereka memberi maklumat seumpama itu dan menyifatkan kenyataan mereka telah dipesongkan.

Mengulas lanjut, Khalid berkata pencarian pesawat itu termasuk kotak hitamnya masih dijalankan di kawasan selatan Lautan Hindi dan pihaknya positif pesawat tersebut akan ditemui.

Beliau juga menganggap dakwaan bahawa operasi pencarian berkenaan menemui jalan buntu sebagai tidak relevan kerana siasatan masih berlangsung.

Penerbangan MH370 yang membawa 239 penumpang serta anak kapal menuju Beijing, hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam 8 Mac lepas.

Gerakan mencari membabitkan pelbagai negara bermula di Laut China Selatan sebelum diperluas ke Selat Melaka dan akhirnya di Lautan Hindi selepas data satelit menunjukkan pesawat itu melencong jauh daripada laluan asal dengan isyarat terakhir dikesan di selatan Lautan Hindi.

No comments:

Post a Comment