Selain mencatatkankemenangan yang mengesahkan Belanda sebagai juara Kumpulan B, perlawanan menentang Chile di Sao Paolo turut menyaksikan satu sejarah menarik berulang kembali.
Buat pertama kalinya selepas 14 tahun, kesebelasan utama pasukan Belanda tidak membariskan seorang pun pemain yang memiliki nama 'van'.
Nama 'van' sememangnya cukup sinonim dengan Belanda di mana nama tersebut merupakan satu kelaziman dalam nama kebanyakan rakyat negara tersebut.
Marco van Basten, Edwin van der Sar, Mark van Bommel, Giovanni van Bronckhorst dan Robin van Persie merupakan antara pemain Belanda yang memiliki 'van' dalam nama mereka.
Marco van Basten (kiri) & Edwin van der Sar antara lagenda Belanda yang memiliki nama 'van'. - Gambar AFP
Mark van Bommel (kiri) & Giovanni van Bronckhorst telah bersara dari pentas antarabangsa - Gambar AFP
Robin van Persie - satu-satunya 'van' yang tinggal dalam skuad Oranje. - Gambar AFP
Untuk Piala Dunia FIFA 2014 Brazil ini, hanya Robin van Persie memiliki nama 'van' dalam kalangan 23 pemain yang disenaraikan jurulatih Belanda, Louis van Gaal.
Kali terakhir pasukan yang turut dikenali sebagai Oranje itu beraksi dengan kesebelasan utama tanpa pemain yang memiliki nama 'van' adalah ketika menewaskan Perancis 3-2 pada Kejohanan Euro 2000.
Tidak terkecuali, jenama coklat terkenal, Van Houten pula diasaskan ahli kimia dan pembuat coklat, Coenraad Johannes van Houten yang juga berketurunan Belanda.
Jadi sekiranya anda berkenalan dengan seseorang yang namanya ada 'van', yakinlah bahawa kemungkinan besar dia atau keluarganya pasti berasal dari negara kincir angin itu.
No comments:
Post a Comment