ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: YAMMY SAMAT AKHIRNYA TERIMA SURAT TUNJUK SEBAB DARI UMNO

Tuesday 24 June 2014

YAMMY SAMAT AKHIRNYA TERIMA SURAT TUNJUK SEBAB DARI UMNO


PETALING JAYA: Ibu kepada calon DAP pada pilihan raya kecil Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud iaitu Yammy Samat pada Isnin mengesahkan yang dia akhirnya menerima surat tunjuk sebab daripada Umno mengapa tindakan disiplin atau tindakan pemecatan daripada parti tidak boleh dikenakan ke atasnya atas dakwaan berkempen bagi pihak calon parti lawan.

Surat itu diterima 20 hari daripada tarikh surat pertama yang dihantar 3 Jun lalu tetapi tidak diterima oleh Yammy.

Ia adalah surat yang ketiga yang dihantar oleh Umno selepas surat pertama dipulangkan semula oleh Pos Malaysia kerana salah alamat manakala surat kedua yang dikatakan telah dihantar pada 16 Jun lalu turut gagal sampai ke tangannya.

Yammy ketika dihubungi mStar Online berkata, surat itu diterimanya daripada Penolong Setiausaha Kerja Umno Perak, Ishak Darus yang datang sendiri ke rumahnya untuk melakukan serahan tangan pada kira-kira jam 11 pagi tadi.

Beliau bagaimanapun berkata, surat yang diterimanya itu sekadar salinan kepada surat asal yang bertarikh 3 Jun dan kandungannya begitu ringkas.

“Saya berterima kasih kepada Umno Perak kerana sudi menghantar surat secara serahan tangan kepada saya selepas lama menunggu.Tetapi kenapa saya hanya terima salinan surat tunjuk sebab daripada Umno? Tak kan saya nak memberi jawapan pada surat salinan? Surat asalnya mana?

“Kandungan surat itu pula terlalu ringkas yang hanya minta saya nyatakan sebab mengapa tindakan disiplin atau pemecatan tidak boleh dikenakan ke atas saya kerana berkempen untuk calon parti lawan. Tapi tak apa, saya akan jawab seperti yang dijanjikan,” katanya lagi.


Surat tunjuk sebab yang diterima Yammy pada Isnin.

Sementara itu, Ishak Darus ketika dihubungi turut mengesahkan apa yang dikatakan oleh Yammy itu.

Pada 3 Jun lalu, Umno telah menghantar surat tunjuk sebab kepada Yammy kerana didakwa berkempen untuk anaknya dalam PRK Parlimen Teluk Intan Mei lalu.

Yammy berkata, beliau akan mengambil masa sehari dua untuk menjawab surat berkenaan sebelum dihantar kepada Umno.

Katanya, antara perkara yang akan diperjelaskannya ialah sepanjang kempen pilihan raya kecil tersebut, beliau tidak pernah sama sekali memburuk-burukkan Umno atau memberi sebarang ucapan di pentas.

“Saya tidak berkempen untuk Dyana. Kehadiran saya hanya sebagai ibu yang menemani anaknya, tidak lebih daripada itu,” katanya Yummy.

Beliau menambah, surat jawapannya itu nanti akan turut dikongsi secara umum supaya penjelasannya dapat dinilai masyarakat.

“Saya juga mahu mengelakkan sebarang cubaan manipulasi atau pertikaian terhadap kenyataan saya dalam surat jawapan oleh pihak tertentu nanti,” jelas Yammy.

 Sementara itu, Setiausaha Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Shaarani Mohamad ketika dihubungi mengesahkan mengenai salinan surat tunjuk sebab yang telah dihantar oleh Ishak melalui serahan tangan kepada Yammy.

“Tempoh menjawab surat itu adalah selama 14 hari daripada hari ini (Isnin)... hari dia (Yammy) terima surat berkenaan,” katanya.
MStar

No comments:

Post a Comment