BANDA HILIR - Seorang warga emas antara enam yang ditahan kerana memiliki waran tangkap ketika sekatan jalan raya sempena Ops Waran Tangkap (Warta) di Jalan Merdeka di sini, semalam.
Pegawai Turus Trafik negeri, Deputi Superintendan Mohd Sham Abdullah berkata, wanita berkenaan yang juga pemandu lori berusia 62 tahun itu mempunyai waran tangkap membabitkan kesalahan menggunakan telefon bimbit tanpa alat bebas tangan pada 2012.
“Warga emas terbabit ditahan bersama lima lelaki termasuk seorang penduduk tetap warga Indonesia dalam Ops Warta dan kesemua mereka berusia dari 17 hingga 62 tahun.
“Mereka yang terdiri daripada peniaga, pemandu lori dan teksi itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah sebelum dibebaskan dengan ikat jamin namun perlu hadir ke mahkamah seperti yang dipersetujui,” katanya di sini, semalam.
Mohd Shah berkata, operasi kira-kira tiga jam bermula 9.30 pagi itu membabitkan 11 anggota termasuk seorang pegawai dari Unit Trafik IPD Melaka Tengah turut membuat penghantaran notis pemberitahuan waran tangkap di sekitar daerah ini.
“Sebanyak 15 notis waran tangkap sudah diserahkan namun hanya dapat diberikan kepada keluarga pesalah kerana pesalah berkenaan tiada di rumah, termasuk di kawasan Ujong Pasir dan Banda Hilir,” katanya.
Menurutnya, kebanyakan pesalah trafik yang mendapat waran tangkap ini selalunya bersikap sambil lewa dan suka memberikan alasan tidak mempunyai duit untuk membayar saman.
“Tidak cukup duit untuk bayar saman adalah alasan sering diberikan ketika ditanya. Malah, mereka sebenarnya mengetahui mengenai terdapat saman yang belum diselesaikan kerana mereka sendiri menurunkan tandatangan.
“Namun ada juga pesalah tegar tetapi menggunakan alasan tidak mengetahui dirinya disaman kerana melakukan kesalahan yang dikesan perangkap had laju," katanya.
Beliau berkata, terbaru dalam Ops Warta dilakukan kelmarin terdapat seorang lelaki yang memandu kereta mewah mempunyai 79 saman perangkap had laju.
“Dia memberi alasan tidak mengetahui mengenai saman itu namun disebabkan dia sering melakukan kesalahan sama, kita menggunakan hak mengikut undang-undang dengan menahan keretanya supaya tidak melakukan kesalahan sama,” katanya.
SH
No comments:
Post a Comment