MUAR – Kaki guru wanita yang cedera parah selepas terbabit kemalangan di Kilometer 148.8 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan di sini, awal pagi kelmarin, tidak dipotong seperti yang disebarkan di internet. {Artikel Berkaitan}
Bagaimanapun, kaki kanan Siti Hajar Johari, 31, yang cedera teruk itu selamat dibedah malam kelmarin, sementara bahagian peha kanannya yang patah itu juga akan dibedah dalam masa beberapa hari lagi.
Siti Hajar berkata, dia terkejut membaca laporan di beberapa blog yang memperkatakan kedua-dua kakinya dipotong.
“Kaki kanan saya cedera teruk akibat tersepit dan kecekapan doktor yang melakukan pembedahan telah dapat menyelamatkan ia.
“Saya amat bersyukur kerana selamat walaupun mengalami kecederaan parah, begitu juga anak saya, Safiatulhajar Saifuddin, 7, yang kini di wad kecemasan,” katanya kepada Sinar Harian, di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini, semalam.
Guru Bahasa Inggeris Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Raja, Batu Pahat itu, mengakui masih trauma meskipun kejadian tersebut sudah berlaku lebih 24 jam.
Menurutnya, masih terngiang-ngiang di telinga suara lemah anak (Safiatulhajar) meminta tolong dan dipujuknya supaya kuat.
“Saya sendiri tidak dapat bantu anak kerana keadaan saya juga lemah menahan kesakitan akibat tersepit sehinggalah dibantu keluar oleh anggota bomba,” katanya.
Ibu kepada tiga anak berusia antara tiga hingga tujuh tahun itu berkata, semasa kejadian dia dalam keadaan separuh sedar dan mendapati bas dipandu lelaki berusia 40-an itu tidak laju.
Namun, bas dinaiki gagal memotong sebuah lori yang telah menyebabkan ia merempuh belakang treler di depannya.
“Kami ke Kuala Lumpur untuk lawatan sambil belajar bagi murid-murid tahun enam bersama dua bas yang membabitkan sembilan guru dan 65 murid. Malangnya bas yang saya naiki yang turut disertai tiga guru wanita lain terbabit kemalangan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah HPSF, Dr Selahuddeen Abdul Aziz memberitahu hanya empat mangsa masih dirawat di hospital dan seorang mangsa berada di ICU dan keadaannya dilaporkan stabil.
Sinar Harian semalam melaporan dua guru wanita dan seorang murid perempuan cedera parah apabila bas yang dinaiki bersama 35 penumpang lain terbabit kemalangan dengan treler di kilometer 148.8 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan di sini.
Kejadian kira-kira jam 1.15 pagi berlaku dilaluan Bukit Gambir-Pagoh turut menyebabkan empat murid lain yang berusia antara tujuh hingga 12 tahun mengalami kecederaan ringan.
SH
No comments:
Post a Comment