SHAH ALAM: Kira-kira 100 Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam pada Isnin mendesak Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tidak tunduk kepada arahan kerajaan Selangor yang meminta jabatan itu memulangkan semula 300 naskhah Bible dalam bahasa Malaysia yang dirampas pada Januari lepas.
Pengerusi Pembela-pembela Islam Malaysia (Pembela), Hafiz Nordin yang mewakili gabungan kira-kira 100 NGO itu berkata, ini berikutan naskhah Bible tersebut mengandungi kalimah Allah yang dilarang penggunaannya oleh kaum bukan Islam di negeri ini.
"Tidak perlu dipulangkan kitab Bible yang dirampas itu kerana kitab itu bercanggah dengan titah Sultan Selangor dan fatwa negeri ini yang melarang kaum bukan Islam menggunakan kalimah Allah dalam kegiatan agama mereka," katanya dalam sidang media di sini, Isnin.
Khamis lepas, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu kenyataan mengarahkan JAIS memulangkan semua kitab tersebut kepada Persatuan Bible Malaysia (BSM).
Arahan itu dibuat berikutan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail memaklumkan tidak ada sebarang pendakwaan akan dibuat berhubung kes rampasan Bible dan kes itu ditutup.
Abdul Gani berkata, naskhah Bible yang dirampas itu adalah himpunan buku Taurat, Zabur dan Injil yang merupakan buku asas penganut agama Kristian.
Selain Pembela, gabungan NGO itu turut diwakili Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).
No comments:
Post a Comment