ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: TAHNIAH MALAYSIA !!! MALAYSIA DOMINASI TILAWAH, HAFAZAN Al-QURAN PERINGKAT ANTARABANGSA KE-56

Sunday 22 June 2014

TAHNIAH MALAYSIA !!! MALAYSIA DOMINASI TILAWAH, HAFAZAN Al-QURAN PERINGKAT ANTARABANGSA KE-56

KEPUTUSAN RASMI MAJLIS TILAWAH DAN MENGHAFAL AL-QURAN PERINGKAT ANTARABANGSA 2014/1435

TILAWAH (QARI)
1. MALAYSIA (93.03%)
2. TURKI (89.21%)
3. INDONESIA (88.72%)

TILAWAH (QARIAH)
1. MALAYSIA (90.67%)
2. FILIPINA (88.75%)
3. BRUNEI (85.92%)

HAFAZAN (HAFIZ)
1. MALAYSIA (95.70%)
2. ARAB SAUDI (94.00%)
3. QATAR (92.00%)

HAFAZAN (HAFIZAH)
1. MALAYSIA (95.00%)
2. TUNISIA (85.75%)
3. SENEGAL (78.05%)


Malaysia Boleh !!!

Para peserta negara (dari kiri) Mohd Ersyad Abdullah, Ahmad Tarmizi Ali, Hanimzah Jalaluddin dan Noorhafizah Mohd Shafie bergambar bersama selepas masing-masing muncul juara pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-56 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, malam Sabtu.
KUALA LUMPUR: Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-56 yang berakhir malam Sabtu mencatat sejarah gemilang buat Malaysia apabila peserta negara mengungguli kesemua kategori dipertandingkan.
Peserta negara, Ahmad Tirmizi Ali muncul johan Qari dengan markah 93.3 peratus manakala Hanimzah Jalaludin pula johan Qariah setelah mengumpul markah 90.67 peratus.
Naib johan Qari dimenangi Mehmet Bilir dari Turki manakala tempat ketiga pula Ihsan Nuzula Zamri dari Indonesia.
Bagi kategori Qariah, tempat kedua dimenangi Rahima Pandoniongan Amerol dari Filipina dan ketiga Siti Huzzaimah Yadey Rosli dari Brunei.
Kategori hafazan diperkenalkan buat julung kali tahun ini dan peserta negara Mohd Ersyad Abdullah dinobatkan sebagai johan dengan markah 95.75 peratus manakala Noorhafizah Mohd Safee menjuarai kategori hafizah dengan markah 95 peratus.
Naib johan hafiz pula diraih Abdullah Mohammed Al Khayri dari Arab Saudi, manakala tempat ketiga Abdullah Hamad Salim Hamad Abu Sheraidah dari Qatar.
Tempat kedua kategori hafizah disandang Soumaya Cheikh Ali dari Tunisia manakala Ndombor Sene dari Senegal meraih tempat ketiga.
Johan bagi kategori Qari dan Qariah menerima jongkong emas bernilai RM70,000 sumbangan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia, piala iringan serta wang tunai RM40,000.
Kategori hafazan membawa hadiah wang tunai RM30,000, cenderamata serta piala iringan.
Sejumlah 42 peserta lain turut menerima hadiah saguhati bernilai RM3,000 setiap seorang, cenderamata serta sijil penyertaan.
Hadiah-hadiah disampaikan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah. Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.
Majlis itu turut hadir Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud serta isteri Toh Puan Ragad Kurdi dan Menteri di Jabatan di Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Sementara itu Ahmad Tirmizi, 29, ketika ditemui pemberita berkata kemenangan beliau menjadi pembakar semangat untuk terus membangunkan akademi al-Quran Al Tirmizi yang diasaskannya sejak setahun lalu.
"Kemenangan ini merupakan kemenangan anak-anak murid saya dan menjadi pembakar semangat untuk terus mencurah ilmu kepada anak bangsa Islam negara ini," katanya yang merupakan pengetua akademi al-Quran itu di Shah Alam.
Bagi Noorhafizah, 19, seorang guru al-Quran di Maahad Al Itiqan Ampang, latar belakang keluarga yang terdiri daripada hafiz dan hafizah banyak membantu beliau mencapai kemenangan ini.
Noorhafizah merupakan anak ke tujuh daripada 13 beradik, sembilan adik beradiknya yang lain juga merupakan penghafaz al-Quran.
"Bapa juga seorang hafiz, beliau banyak memberi semangat dan tunjuk ajar kepada saya dan adik beradik lain untuk menjadi penghafaz al-Quran," katanya yang pertama kali menyertai tilawah ini.
Tilawah bertemakan 'Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah' bermula sejak 16 Jun lalu disertai 38 peserta bagi kategori tilawah dan 30 peserta bagi kategori hafazan dari 29 negara.
MStar

No comments:

Post a Comment