MUAR – Dua guru wanita dan seorang murid perempuan cedera parah apabila bas yang dinaiki bersama 35 penumpang lain terbabit kemalangan dengan treler di Kilometer 148.8 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan, awal pagi semalam.
Kejadian jam 1.15 pagi berlaku di laluan Bukit Gambir-Pagoh turut menyebabkan empat murid lain yang berusia antara tujuh hingga 12 tahun cedera ringan.
Kejadian dipercayai berlaku apabila bas terbabit yang membawa guru dan murid-murid Sekolah Kebangsaan Parit Raja, Batu Pahat merempuh belakang treler di depannya.
Berikutan rempuhan kuat, bahagian hadapan bas berkenaan remuk teruk hingga mengakibatkan beberapa guru dan murid yang duduk di bahagian hadapan terperangkap dan tersepit.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, bas berkenaan dalam perjalanan pulang ke Batu Pahat menghantar mangsa mengikuti rombongan di Kuala Lumpur.
Menurutnya, guru dan murid yang cedera parah berusia 32, 45 dan tujuh tahun, manakala pemandu bas tersebut, 40an, patah kaki kiri, seorang guru berusia 37 patah tangan dan seorang murid berusia sembilan tahun patah kaki kanan.
“Pemandu treler yang sarat membawa muatan susu pekat cair tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Semua mangsa dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini untuk rawatan kecemasan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba Bukit Gambir, A Hamid Awaludin berkata, enam anggota dibantu lima dari Balai Bomba Ledang bersama satu jentera dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan jam 1.34 pagi.
Menurutnya, apabila tiba di tempat kejadian, seorang mangsa berada di luar dibantu keluar oleh orang awam dan tiga mangsa yang cedera parah berada dalam bas.
“Kita mengambil masa 20 minit untuk mengeluarkan tiga mangsa itu yang tersepit kerana bahagian hadapan bas remuk teruk.
“Murid lain yang terselamat dibawa sebuah lagi bas rombongan sekolah tersebut beberapa minit selepas kejadian berkenaan,” katanya.
Katanya, rombongan sekolah itu disertai dua bas.
Bas pertama membawa guru dan murid wanita yang berada di hadapan terlibat kemalangan dan sebuah bas lagi yang membawa 41 guru dan murid lelaki berada di belakang.
SH
No comments:
Post a Comment