ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: GURU WANITA RUGI RM40,000 DITIPU LELAKI MENYAMAR PEGAWAI SPRM

Friday 20 June 2014

GURU WANITA RUGI RM40,000 DITIPU LELAKI MENYAMAR PEGAWAI SPRM


NIBONG TEBAL - Seorang guru wanita yang bertugas di Nibong Tebal di sini bukan sahaja kerugian lebih RM40,000 malah kempunan mendirikan rumah tangga ekoran ditipu seorang lelaki yang mengaku sebagai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Superintendan Shafien Mamat berkata, mangsa yang berusia 24 tahun itu mengenali lelaki berkenaan sejak lima bulan lepas melalui laman sosial dan telah menyerahkan wang tunai serta barang kemas sejak Mac lepas, kononnya sebagai persediaan perkahwinan mereka.

"Lelaki berusia 36 tahun itu berjanji hendak mengahwininya menyebabkan guru Kafa (kelas asas fardu ain) berkenaan sanggup meminjamkan barang kemas dan wang kepadanya, bagaimanapun pada minggu lepas suspek cuba mengelak serta melarikan diri daripada bertemu wanita itu untuk membincangkan urusan perkahwinan mereka.

"Wanita itu yang menyedari dia ditipu memaklumkan kepada keluarganya sebelum beberapa anggota keluarganya berjaya mengesan lelaki berkenaan di kawasan Bukit Panchor, di sini Selasa lepas dan membawanya ke balai polis," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, polis membuat pemeriksaan ke atas sebuah kereta milik lelaki berkenaan dan menemui vest SPRM, tiga telefon bimbit, barang kemas serta resit barang kemas yang telah dipajak di sebuah kedai emas di Parit Buntar, Perak.

Shafien berkata siasatan polis mendapati lelaki itu bukan pegawai SPRM sebaliknya bekas anggota tentera.

"Ujian air kencing lelaki itu positif dadah dan siasatan lanjut masih dijalankan sama ada lelaki itu terlibat dalam kes-kes penipuan lain," katanya.

Beliau berkata, lelaki terbabit direman hingga esok.

"Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan orang ramai agar berhati-hati dengan penipuan berbentuk ini dan segera melaporkan kepada polis sekiranya mengesyaki sesuatu," katanya.
Bernama

No comments:

Post a Comment