BANDARAYA MELAKA - Seorang kanak-kanak perempuan koma akibat pendarahan dalam otak selepas terbabit dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Melaka Sentral, Lebuh Ayer Gajah - Melaka Tengah - Jasin (AMJ), dekat sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira 9 malam itu, mangsa, Nur Alya Maisarah Nor Azlan, 9, yang tersepit di tempat duduk penumpang hadapan tidak sedarkan diri dan terus dibawa ke Hospital Melaka sebaik saja berjaya dikeluarkan dari kenderaan oleh orang awam.
Kakak mangsa, Nur Fateha Liana, 15, pula patah tangan kanan dan turut dibawa ke hospital sama untuk rawatan lanjut, manakala ibu mereka, Dayangku Suhana Jamil, 35 hanya mengalami luka-luka kecil di muka dan tangan.
Ketiga-tiga beranak itu dikatakan dari arah Semabok dan hendak masuk simpang ke kanan untuk pulang ke rumah mereka di Pulau Gadong melalui Malim Jaya sebelum kereta Perodua Myvi dinaiki mereka dirempuh Honda CRV dipandu seorang lelaki berusia 30-an yang datang dari arah Malim ke Semabok.
Saksi kejadian dikenali sebagai Zack, 20-an, berkata, ketika kejadian, dia sedang menunggang motosikal dari arah Melaka Sentral dan berhenti di persimpangan itu kerana lampu isyarat merah.
Menurutnya, dia terkejut apabila mendengar dentuman kuat.
“Kemudian saya lihat Honda CRV terbabit berpusing sebelum orang ramai datang membantu mengeluarkan semua mangsa, namun kanak-kanak yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan tidak dapat dikeluarkan kerana tersepit,” katanya.
Sementara itu, suami Dayangku Suhana, Norazlan Ibrahim, 42, berkata, dia hanya mengetahui mengenai kejadian selepas dihubungi isterinya yang memaklumkan mereka bertiga terlibat kemalangan.
“Ketika kejadian, saya berada di rumah menjaga ibu tidak sihat sebelum menerima panggilan dari isteri yang dalam perjalanan pulang dari rumah rakannya di Peringgit tidak jauh dari lokasi kemalangan.
“Saya bergegas ke lokasi, bagaimanapun dimaklumkan orang ramai yang isteri dan kedua anak perempuan sudah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya ketika ditemui di Hospital Melaka, di sini, semalam.
Norazlan yang merupakan bekas pembantu jurukamera sambilan sebuah stesen televisyen tempatan berkata, dia masih terkejut dan risau dengan keadaan anak bongsu yang kini tidak sedarkan diri dan dirawat di unit rawatan rapi (ICU).
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Salehhudin Abdul Rahman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.
SH
No comments:
Post a Comment