ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: JOHARI NAFI KKMM TAK BERTINDAK TERHADAP PENYEBAR FITNAH

Saturday 21 June 2014

JOHARI NAFI KKMM TAK BERTINDAK TERHADAP PENYEBAR FITNAH


PASIR PUTEH – Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) menafikan bahawa ia tidak bertindak mengambil tindakan undang-undang terhadap penyebar fitnah yang memburuk-burukkan kerajaan, institusi raja dan kesucian agama Islam terutama dalam laman sosial.

Timbalan Menterinya, Datuk Jailani Johari berkata, malah pihaknya sudah mengambil tindakan yang sewajarnya mengikut akta-akta yang ada seperti Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.

“Malah melalui agensi kerajaan yang lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga turut melakukan tindakan yang sama terhadap mereka yang bersalah”, katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Komuniti 1Malaysia dan Unit Komunikasi Rakan IT Daerah Pasir Puteh di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis berkenaan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Zawawi Othman, ADUN Selising, Zulkifli Ali dan Pengarah Jabatan Penerangan Kelantan, Ramly Yusoff.

Johari berkata siasatan yang dilakukan agensi berkaitan akan dilanjutkan kepada pihak pendakwaan untuk tindakan selanjutnya.

Bagaimanapun beliau mengakui bukan mudah untuk pihaknya mengambil tindakan segera terhadap sesuatu dakwaan dan fitnah kerana ia memerlukan bukti yang cukup untuk mensabitkan kesalahan itu.

Mengenai Unit Komunikasi Rakan IT yang pertama ditubuhkan di Kelantan, katanya kementeriannya akan memperluaskan penubuhannya ke seluruh negara secara berperingkat.

Beliau berkata unit itu, yang diterajui golongan muda, mampu menangkis sebarang bentuk dakyah yang dilemparkan pihak tertentu yang membabitkan isu-isu semasa.

Katanya kementerian akan membantu penubuhan unit itu termasuk peralatan yang diperlukan supaya ia lebih berfungsi sebagai alat penyebaran maklumat yang tepat dan sahih.
BERNAMA

No comments:

Post a Comment