ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: BAS TERTUSUK BESI PENGHADANG JALAN !!!

Thursday 19 June 2014

BAS TERTUSUK BESI PENGHADANG JALAN !!!



KUANTAN - Tiga penumpang dan seorang pemandu bas RapidKuantan nyaris maut setelah bas yang dinaiki terbabas lalu tertusuk besi penghadang jalan dalam kemalangan di Kilometer 13, Jalan   Kuantan-Pekan berhampiran Taman Indera Sempurna di sini, hari ini.

Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas, Rosli Daud berkata kejadian berlaku kira-kira 3.40 petang apabila tayar depan bahagian kiri bas berkenaan tiba-tiba meletup menyebabkan bas itu hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar besi penghadang jalan.

"Berikutan kejadian itu besi penghadang jalan dianggarkan sepanjang lima meter telah menembusi dari lantai sebelah kiri bas sehingga ke bahagian cermin belakang bas.

"Ia mengakibatkan seorang penumpang iaitu pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mat Kilau, Rasydan Hakimi Saari, 13 patah kaki kiri, manakala dua lagi penumpang hanya mengalami cedera ringan," katanya kepada pemberita di sini.

Menurutnya, pemandu bas berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan manakala penumpang yang cedera dibawa keluar oleh orang ramai sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk mendapatkan rawatan.

Rosli berkata pihaknya dengan kerjasama kakitangan RapidKuantan mengambil masa lebih sejam untuk mengeluarkan besi penghadang jalan yang tertusuk pada bas henti-henti bandar itu.

Difahamkan ketika kejadian bas berkenaan dalam perjalanan dari Pekan ke hentian Bandar untuk menghantar penumpang tersebut.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi RapidKuantan, Zainurul Hakim ketika dihubungi berkata pihaknya akan menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian.
Bernama

No comments:

Post a Comment