Bekas Ketua Serikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Anina Saadudin berkata, soal masa depan orang Me­layu tidak lagi menjadi agenda utama kepada bekas Perdana Menteri itu sebaliknya beliau hanya menjadikan perhimpunan agung pertama parti itu sebagai pentas menghamburkan kemarahannya kepada Najib.
Kata beliau, perhimpunan PPBM yang pertama itu jelas hambar apabila tiada roh memperjuangkan nasib orang Melayu sebaliknya dikuasai perasaan kebencian dan dendam yang sepatutnya dinilai oleh rakyat tentang masa depan mereka.
“Dahulu ketika kecil sehingga berada di alam universiti, saya pasti akan tertunggu-tunggu di depan kaca televisyen untuk mendengar Tun Mahathir bercakap kerana banyak benda yang menarik tetapi sungguh berbeza semalam.
“Beliau tiada benda lain yang mahu diperkatakan lagi selain perasaan marah yang mahu dikeluarkan daripada hatinya... hanya berkenaan untuk menjatuhkan Perdana Menteri. Tun tidak bercakap mengenai soal masa depan rakyat, orang Melayu... tiada inti pati mengenai masa depan orang Melayu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Anina, agenda rak­yat khusus hal orang Melayu kini mungkin sudah tidak lagi selaras dengan keutamaan untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sehingga soal itu diketepikan begitu sahaja.
“Ketika mahu ditubuhkan, saya dimomokkan PPBM akan menjadi parti dominan dalam Pakatan Harapan seperti UMNO dalam BN namun PPBM dalam pakatan tidak lagi melihat agenda ekonomi dan masa depan orang Melayu sebagai keutamaan.
“Yang timbul di permukaan mungkin untuk menjatuhkan kepemimpinan Perdana Menteri tetapi sebenarnya, kerajaan orang Melayu yang akan musnah. Ini harus dipertahankan kerana hanya Malaysia negara yang dipimpin rakyat dan kerajaannya diketui orang Melayu,” ujarnya.