ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: DAYUS TERHADAP AGAMA

Tuesday, 2 January 2018

DAYUS TERHADAP AGAMA


Kebiasannya kita selalu dengar istilah dayus dalam isu kekeluargaan, kali ini saya terangkan dayus pada agama yang saya maksudkan.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar bahawa Rasulullah s.a.w bersabda menceritakan akan maksud dayus :
قالوا يا رسول الله وما الديوث قال من يقر السوء في أهله
Ertinya : Apakah dayus itu wahai Rasulullah ?. Jawab Nabi : Iaitu seseorang ( lelaki) yang membiarkan kejahatan ( zina, buka aurat, bergaul bebas ) dilakukan oleh ahlinya ( isteri dan keluarganya)
Saya pinjam perkataan Dayus untuk dilihat dalam konteks agama Islam iaitu bagi menggelarkannya sesiapa yang tidak mempertahankan Islam apabila Islam diperlekeh oleh orang lain, bahkan mereka itu terlibat sama dalam memperlekehkan Islam.
Maksudnya orang yang bergelar Muslim tetapi tidak mempertahankan Islam daripada dirobek, dicaci, dihina, bahkan mengatakan Islam tidak perlu lagi digunakan dengan caranya yang ada sekarang. Bahkan sampai ke tahap mereka memuja-muja bahwa ada lagi sistem, ideologi yang lebih baik daripada sistem Islam, pandangan Islam, solusi Islam yang bawa.
Mereka berasa selesa menjadi boneka kepada musuh-musuh Islam akibat terlalu lemahnya jiwa mereka, tiada maruah serta kezaman dan rendah cita-cita. Tiada istilah yang lebih tepat untuk mengumpamakan mereka ni selain perkataan dayus.
Pada hari ini, kita melihat penyakit “dayus agama” ini semakin menular dalam golongan yang dikatakan sebagai cendiakawan atau cerdik pandai. Golongan yang kononnya bercakap dengan penuh ilmiah namun pada hakikatnya mereka sesat dalam kegelapan jahiliyah.
Mungkin ada yang akan kata kepada saya mengapa tidak menggunakan perkataan Munafiq?
Pada hakikatnya tiada beza antara kedua istilah tersebut. Bahkan boleh jadi munafiq lebih sesuai kerana berdasarkan Sirah Rasulullah ketika mana tentera munafiq yang berpaling tadah dalam peperangan Uhud dan manghasut orang beriman supaya tidak pergi berperang dengan Rasulullah s.a.w dalam perang Tabuk. Mereka tidak mempertahankan Islam ketika Islam perlukan pertahanan, merekalah golongan munafiq.
Mereka melakukan perkara yang sama juga ketika dalam peperangan Tabuk:
فَرِحَ ٱلۡمُخَلَّفُونَ بِمَقۡعَدِهِمۡ خِلَـٰفَ رَسُولِ ٱللَّهِ وَكَرِهُوٓاْ أَن يُجَـٰهِدُواْ بِأَمۡوَٲلِهِمۡ وَأَنفُسِہِمۡ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَقَالُواْ لَا تَنفِرُواْ فِى ٱلۡحَرِّ‌ۗ قُلۡ نَارُ جَهَنَّمَ أَشَدُّ حَرًّ۬ا‌ۚ لَّوۡ كَانُواْ يَفۡقَهُونَ (٨١)
Orang-orang (munafik) yang ditinggalkan (tidak turut berperang) itu, bersukacita disebabkan mereka tinggal di belakang Rasulullah (di Madinah) dan mereka (sememangnya) tidak suka berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah (dengan sebab kufurnya) dan mereka pula (menghasut dengan) berkata: Janganlah kamu keluar beramai-ramai (untuk berperang) pada musim panas ini. Katakanlah (wahai Muhammad): “Api Neraka Jahanam lebih panas membakar”, kalaulah mereka itu orang-orang yang memahami. (Surah At Taubah: 81)
Tersangatlah bahaya golongan-golongan yang dayus agama ini, hati-hatilah dan berdoalah supaya kita juga tidak terjebak dan tidak menjadi sebahagian daripada mereka.
Saya berdoa kepada Allah supaya mereka yang terjebak ke dalam penyakit ini supaya mereka bertaubah serta kembali kepada agama Allah s.w.t yang syumul.
Samada ada mereka jahil atau buat-buat jahil, hakikatnya Islam adalah sebuah agama yang sangat hebat, dalamnya terdapat segala peraturan dan penyelesain secara pasti yang akan memandu kehidupan manusia supaya selamat di dunia dan akhirat.
Tiada agama yang hebat sehebat Islam. Tiada penyelesain selain penyelesain Islam. Tiada lebih tinggi daripada Islam. Bersabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis hasan daripada Saidina Umar RA:
الاسلام يعلو ولا يعلى عليه
Islam itu tinggi, tiada yang mampu menandinginnya.
Allah s.w.t. berfirman dalam surah Ali Imran ayat 139 :
ولا تهنوا ولا تحزنوا وأنتم الأعلون ان كنتم مؤمنين
Dan janganlah kalian berasa hina dan bersedih dan kalianlah yang tinggi jika kamu beriman.
Dalam ayat di atas jelas, keimanan yang mengangkat martabat seseorang manusia. Jika tiada Iman dan Islam, hinalah manusia tersebut dan jatuhlah martabatnya.
Marilah sama-sama kita mempertahankan agama kita dan mengangkat agama kita ke tahap yang lebih tinggi.
Kitalah pembantu dan pemenang agama Allah s.w.t.

No comments:

Post a Comment