ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: TIDAK TIMBUL ISU PAS KELUAR PAKATAN RAKYAT - AJK PAS PUSAT

Friday 3 April 2015

TIDAK TIMBUL ISU PAS KELUAR PAKATAN RAKYAT - AJK PAS PUSAT

Tidak timbul isu PAS keluar Pakatan Rakyat - Hanipa Maidin
KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, Mohamed Hanipa Maidin menyanggah kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang menyatakan PAS mampu berjuang bersendirian walaupun disingkirkan daripada Pakatan Rakyat.

Ahli Parlimen Sepang itu menegaskan jika PAS mengambil keputusan untuk berjuang bersendirian, ia merupakan satu keputusan yang mengembirakan musuh tradisinya, UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Katanya, amat malang apabila UMNO dilihat semakin terhakis kuasa dan lemah, wujud pihak dalam Pakatan Rakyat yang masih bercakap tentang isu keluar dari gabungan tersebut.

"Sehingga kini BN rasa begitu perit dengan kewujudan PR dan juga perit untuk mempertahankan pemerintahannya yang semakin hari semakin rapuh dengan dikelilingi skandal dan salah guna kuasa.

"Maka satu-satunya pihak yang amat gembira jika PAS keluar PR tidak syak lagi adalah BN," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamed Hanipa berkata selagi PAS masih berpegang dengan slogannya "PAS for all", soal PAS sedia berjuang bersendirian tidak relevan sama sekali.

"Melainkan ia bersedia mengehadkan pengaruh dan sokongannya hanya di Kelantan sahaja.

"Jika itu pendirian PAS, maka segala usaha dan gerak kerja yang PAS lakukan di negeri-negeri selain Kelantan, khususnya di pantai barat, bagi melebarkan pengaruh dan sokongannya, jika pun tidak sia-sia, akan mengembalikan PAS kepada kedudukan PAS sebelum wujudnya PR.

"Dan jika ini berlaku, bagi saya, ia merugikan sama sekali misi dan visi PAS membawa agenda Islamnya kepada rakyat pelbagai kaum di negara ini," katanya lagi.

Katanya, perjuangan PAS yang membawa obor Islam sejak daripada awal, tidak pernah diniatkan untuk orang Melayu Islam sahaja, sebaliknya untuk semua bangsa dan agama di negara ini.

"Perjuangan PAS bukan sekadar untuk memerintah Kelantan atau Terengganu sahaja, sebaliknya PAS bercita-cita mengambil alih kekuasaan di semua negeri dan Malaysia itu sendiri.

"Kerana itu, PAS wujud di semua negeri di dalam negara ini meskipun kekuatan PAS dan pengaruhnya berbeza antara satu negeri dengan negeri yang lain," kata Hanipa.

PAS juga katanya, memahami realiti yang bagi mengambil alih pemerintahan di peringkat Pusat dan negeri, ia tidak boleh bergerak secara sendirian sebaliknya perlukan kerjasama parti politik lain bagi membentuk satu pakatan untuk menjatuhkan Umno/BN.

"Setakat hari ini, jelas yang PR adalah pakatan politik yang paling sesuai, relevan dan 'viable' untuk mencapai hasrat menawan Putrajaya selagi mana PAS memilih kaedah demokrasi dan pilihan raya bagi mencapai matlamat dan memenuhi aspirasi perjuangannya," katanya.

Semalam, Bernama melaporkan Mohd Amar sebagai berkata PAS mampu berjuang bersendirian walaupun disingkirkan daripada Pakatan Rakyat.

No comments:

Post a Comment