ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: CIKGU CEDERA DIBELASAH ENAM LELAKI

Sunday 19 April 2015

CIKGU CEDERA DIBELASAH ENAM LELAKI

Cikgu cedera dibelasah enam lelaki

PASIR MAS - Seorang guru patah tulang pipi dan cedera di bahagian mata, muka serta badan selepas dibelasah enam lelaki yang tidak dikenali di Taman Perumahan Hadapan Sekolah Pendidikan Khas, Lati, di sini, Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.40 petang itu, mangsa Mohd Yatimmi Arifin, 33, yang merupakan seorang guru telah dibelasah tanpa belas kasihan oleh kumpulan lelaki berkenaan ketika mahu menyelesaikan sedikit salah faham.

Dipercayai salah faham itu melibatkan satu kemalangan di landasan kereta api berhampiran Kampung Jerulong yang telah berlaku antara mangsa dengan adik kepada salah seorang lelaki dari kumpulan berkenaan.

Mohd Yatimmi berkata, ketika itu dia dalam perjalanan untuk menghantar anak lelakinya Adam Darwish, 3, ke Hospital Pasir Mas bagi mendapatkan rawatan selepas diserang demam teruk.

“Sebelum itu saya mendapat panggilan dari pengasuh yang memberitahu Adam Darwish demam teruk. Jadi saya terus bergegas ke rumah pengasuh untuk mengambil dan membawanya ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

“Ketika itu keadaan jalan tenang, secara tiba-tiba ada sebuah motosikal datang mengejut. Saya sempat menekan brek, namun motosikal tersebut gagal menggelak dan telah melanggar pintu kereta menyebabkan penunggangnya terjatuh,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Lemal di sini semalam.

Mohd Yatimmi berkata, disebabkan terlalu panik melihat keadaan anaknya itu dia telah bertindak nekad dengan menghantar Adam Darwish terlebih dahulu ke hospital.

“Bagaimanapun, saya telah berpatah balik dan pulang ke rumah terlebih dahulu untuk memaklumkan kejadian tersebut kepada abang Mohd Aswadi, 37, serta ibu, Manna Che Sulaiman, 54, untuk mencari jalan bagi menyelesaikan masalah tersebut.

“Saya kemudian bergegas semula ke lokasi kejadian dan diberitahu mangsa telah dibawa ke hospital. Selepas itu saya mendapat panggilan telefon daripada abang mangsa dan meminta supaya ke rumahnya yang terletak tidak jauh dari lokasi kejadian,” katanya.

Dia berkata, sebaik sahaja sampai dan mahu menyelesaikan perkara itu dengan baik, abang kepada lelaki berkenaan telah bertindak membelasahnya dengan bantuan rakan-rakan.

Katanya, ketika itu dia hanya memikirkan soal mati selepas rebah dan dibelasah teruk oleh kumpulan lelaki berkenaan sehingga menyebabkan dia patah tulang pipi dan cedera di bahagian mata serta luka di lulut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Haliludin Rahim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut.
SH

No comments:

Post a Comment