PETALING JAYA: PAS menyifatkan tindakan kerajaan membentangkan pindaan Akta Hasutan yang berlangsung pada Khamis di Dewan Rakyat sebagai sesuatu yang membazir masa dan sia-sia.
Ketua Whip PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, kerajaan sepatutnya menangguhkan pembentangan pindaan tersebut sehingga kes saman yang difailkan pensyarah undang-undang Universiti Malaya, Prof Madya Dr Azmi Shahrom yang mencabar kebebasan Akta Hasutan 1948 selesai diputuskan pihak mahkamah.
"Kita memang tidak bersetuju pembentangan itu dibuat, ia sepatutnya ditarik balik dan dibentangkan semula selepas kes saman Azmi selesai.
"Sekiranya kerajaan bentang pindaan Akta Hasutan tersebut, bagaimana Ahli Parlimen ingin berbahas," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Khamis.
Difahamkan kerajaan dijangka membuat beberapa perubahan ke atas cadangan pindaan Akta Hasutan 1948 pada Khamis berikutan kebimbangan yang dibangkitkan beberapa pihak termasuk penyokong Barisan Nasional (BN).
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan membuat pengumuman tersebut di Dewan Rakyat pada pukul 11.30 pagi Khamis.
Rang Undang-Undang Hasutan (Pindaan) 2015 yang dibentangkan Dr Ahmad Zahid Selasa lalu untuk bacaan kali pertama tetapi masih belum dibahaskan.
Mengulas lanjut, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, masalah akan menjadi lebih rumit sekiranya pindaan tersebut diluluskan namun mahkamah memutuskan sebaliknya, iaitu Azmi Shahrom menang dalam kes saman berkenaan sekaligus menjadikan pindaan yang diluluskan itu tidak lagi relevan.
"Akan jadi kerja dua kali, pindaan tersebut perlu dibentangkan semula di Parlimen. Ini membazir masa. Sebab itu kita bantah perkara ini. Pada masa lalu, apa-apa perkara yang melibatkan prosiding di Mahkamah, Speaker akan menghalangnya.
"Jadi Speaker tidak sepatutnya membenarkan perkara ini berlaku hanya kerana pindaan ini di bawa kerajaan," katanya.
Jelasnya, beliau juga tidak faham mengapa kerajaan tergesa-gesa ingin membentangkan pindaan Akta Hasutan 1948 dan menggambarkan tindakan tersebut sebagai kedegilan kerajaan yang enggan akur kepada keputusan mahkamah.
Pada 5 November tahun lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan supaya dua isu perundangan dalam kes hasutan yang dihadapi Azmi dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.
Dalam keputusannya, Hakim Kamardin Hashim berkata, setelah meneliti hujahan bertulis pemohon (Azmi) dan responden (pendakwaan), beliau berpandangan bahawa kes terhadap pemohon adalah sesuatu kes yang wajar untuk dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan sebagai suatu kes yang khas.
Kamardin juga memerintahkan semua prosiding kes itu di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Sesyen digantung sementara menunggu Mahkamah Persekutuan membuat keputusan mengenai kedua-dua isu berkenaan.
Pada 17 September tahun lalu, Azmi memfailkan permohonan bagi mendapat perintah agar Mahkamah Tinggi merujuk dua persoalan undang-undang itu kepada Mahkamah Persekutuan bagi menentukan sama ada Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 berpelembagaan atau tidak.
Azmi juga memohon perintah agar pertuduhan yang dihadapinya digantung atau dibatalkan.
m
No comments:
Post a Comment