ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: PM @NajibRazak ARAH @PDRMsia SIASAT PROTES SALIB TAMAN MEDAN

Tuesday 21 April 2015

PM @NajibRazak ARAH @PDRMsia SIASAT PROTES SALIB TAMAN MEDAN


KUALA LUMPUR: Tindakan boleh diambil di bawah Akta Hasutan atau undang-undang sedia ada jika kumpulan yang mengadakan bantahan di luar sebuah gereja di Taman Medan didapati melanggar undang-undang negara.

Najib arah polis siasat protes salib Taman MedanPerdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataan hari ini berkata polis akan menjalankan siasatan terhadap insiden berkenaan setelah mengadakan perbincangan di peringkat Kabinet.

“Rakyat mestilah sentiasa mematuhi undang-undang negara dan menghormati amalam beragama seperti yang telah termaktub dalam perlembagaan.

“Selain itu, kita hendaklah mengamalkan sikap toleransi serta saling hormat menghormati antara kaum yang berbeza agama,” kata Najib.

Beliau turut berkata bahawa Kabinet berpendapat bahawa mereka sepatutnya berbincang dengan pihak yang berkenaan jika mempunyai sebarang bantahan dan tidak mengambil tindakan yang boleh menimbulkan keresahan dalam masyarakat berbilang bangsa.

Tambah Najib, kerajaan Negeri Selangor berkuasa ke atas status rumah kedai ini sama ada ia didaftar sebagai rumah ibadat dan diberi kebenaran untuk beroperasi.

SEMENTARA ITU, Para pegawai Majlis Bandaraya Petaling Jaya telah mengklasifikasikan gereja di Taman Medan sebagai tidak sah kerana ia beroperasi tanpa lesen dan tidak pernah menghantar permohonan bertulis untuk beroperasi sebagai tempat ibadat.

Portal berita The Star Online melaporkan bahawa Pegawai Perhubungan Awam MBPJ Zainun Zakaria berkata pemeriksaan data lesen selama tiga jam menunjukkan bahawa premis rumah kedai yang dijadikan sebagai gereja itu ‘tidak mempunyai lesen untuk dijadikan tempat ibadat’.

Data juga menunjukkan bahawa gereja yang mencetuskan kontroversi di Metro Square PJS2B/3 itu tidak mempunyai permit untuk menaikkan tanda salib di premis berkenaan.

Pada Ahad lalu, sekumpulan 50 orang penduduk telah berkumpul di luar premis tersebut untuk memprotes tanda salib yang telah dipasang dan mendesak agar menurunkannya.

Zainun berkata gereja itu perlu membuat permohonan bertulis untuk mendapatkan lesen.

“Premis rumah kedai yang ditukar menjadi tempat ibadat atau pusat meditasi perlu patuh pada Akta 133 Seksyen 70(12) dan permohonan bertulis bersama perincian aktiviti perlu dihantar untuk mendapat kelulusan.

“Pihak kami memerlukan pematuhan ini demi keselamatan orang yang menggunakan bangunan tersebut,” jelasnya.

Tambahnya, semua rumah ibadat yang mahu memasang logo atau simbol pada bangunan perlu mematuhi peraturan dan mendapat permit daripada pihak majlis bandaraya.

“Ini termasuklah lambang bunga teratai, salib atau lain-lain. Semuanya memerlukan permit majlis bandaraya,” ujar Zainun.

Para pegawai MBPJ telah mengunjungi premis rumah kedai tersebut semalam untuk menemui wakilnya namun tiada siapa berada di lokasi.

No comments:

Post a Comment