ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: GST : MASIH ADA PENIAGA TAMAK NAIK HARGA BARANG

Wednesday 22 April 2015

GST : MASIH ADA PENIAGA TAMAK NAIK HARGA BARANG


SEREMBAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri Sembilan, mencatatkan 359 aduan kenaikan harga barang sejak GST dilaksanakan 1 April lalu sehingga kini.

Pengarahnya, Mohd Salleh Ma’amor berkata, daripada jumlah tersebut, 105 notis telah dikeluarkan terhadap peniaga yang menaikkan harga barang tanpa sebab dan alasan munasabah.

Katanya, masih ada ramai peniaga yang degil dan bersikap tamak mengambil kesempatan terhadap perlaksanaan GST ini.

“Hasil pemeriksaan dilakukan, masih ada peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga sesuka hati.

“Kita menerima pelbagai maklum balas dan aduan mengenai peniaga yang caj harga melebihi harga sebenar.

“Malah setakat jam 10 malam kelmarin, kita menerima 10 aduan  orang ramai mengenai sikap peniaga yang menaikkan harga barang dengan alasan GST,” katanya.

Tambahnya, pengguna perlu bersikap bijak dan membuat perbandingan terlebih dahulu sebelum membeli, dan segera melaporkan kepada KPDNKK jika terdapat perbezaan melampau daripada harga sebelumnya.

Katanya, peniaga melakukan pencatutan yang berlebihan, boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Kawalan Harga dan Akta Anti Pencatutan 2011.

Mengikut Akta Kawalan Harga Anti Pencatutan 2011, mereka boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 14 (1) dan Seksyen 21 (5), dan penalti di bawah Seksyen 57.

Jika perbadanan, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 dan bagi kesalahan ke dua atau berikutnya, denda tidak melebihi RM250,000.

Jika melibatkan individu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Namun, jika kesalahan kali ke dua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

“Oleh yang demikian, saya menasihatkan kepada peniaga agar tidak menaikkan harga barang sesuka hati tanpa sebab yang munasabah, kerana itu adalah satu kesalahan.

“Orang ramai juga diminta untuk menyalurkan maklumat yang lengkap bagi memudahkan KPDNKK membuat siasatan ke atas aduan yang dibuat dan menyimpan segala bukti pembelian bagi memudahkan urusan siasatan,” katanya.

No comments:

Post a Comment