ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: TERIMA BR1M LEBIH SEKALI, 4,771 PENERIMA DISENARAI HITAM

Tuesday 7 April 2015

TERIMA BR1M LEBIH SEKALI, 4,771 PENERIMA DISENARAI HITAM

Terima BR1M lebih sekali, 4,771 penerima disenarai hitam
KUALA LUMPUR: Seramai 4,771 penerima baucer Bantuan Rakyat 1-Malaysia (BR1M) telah disenarai hitam Kementerian Kewangan kerana menerima bayaran lebih daripada sekali sejak tiga tahun lalu yang membabitkan jumlah sebanyak RM2.3 juta.

Jumlah tersebut merupakan 72.5 peratus daripada 6,577 penerima yang membuat penunaian lebih daripada sekali bagi tempoh 2012 hingga tahun lalu.

Pengarah Belanjawan Negara Datuk Siti Zauyah Md Desa bagaimanapun berkata, 1,806 penerima telah membuat bayaran balik dengan jumlah hampir RM1 juta melalui surat dikeluarkan Kementerian terbabit.

Menurut beliau yang ditemui media selepas sesi bersama media sempena Laporan Ketua Audit Negara 2014 Siri 1 hari ini berkata, sebelum ini terdapat kelemahan dalam sistem agihan baucer BR1M dan ia mungkin menjadi punca terdapat penerima yang berjaya membuat tuntutan lebih daripada sekali dalam setahun.

“Kita menulis surat kepada semua penerima-penerima yang telah menerima lebih daripada sekali dan kita meminta mereka untuk membayar balik,” katanya.

Bagi mengelak perkara tersebut berulang, Kementerian Kewangan pada tahun ini memperkenalkan ciri-ciri keselamatan pada baucar BR1M 2015 bagi memastikan baucar hanya boleh ditebus sekali sahaja.

Antara penambahbaikan baucer itu adalah ia mempunyai nombor siri, nama dan kad pengenalan penerima.

Siti Zauyah memberitahu, Kementerian Kewangan masih menggunakan baucar sebagai kaedah pembayaran alternatif selain pindahan terus ke akaun bank penerima memandangkan terdapat segelintir penerima BR1M berstatus bankrap atau tinggal di kawasan pedalaman tanpa kemudahan perbankan.

Sesi tersebut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa bersama dengan Ketua Setiausaha Kementerian, ketua jabatan dan pegawai atasan agensi kerajaan.
AstroAwani

No comments:

Post a Comment