ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: 'KIT SIANG TAK PERLU NAK AJAR HADI' - DEWAN ULAMA PAS

Monday 13 April 2015

'KIT SIANG TAK PERLU NAK AJAR HADI' - DEWAN ULAMA PAS


KUALA LUMPUR – Penasihat DAP, Lim Kit Siang diingatkan bahawa beliau tidak berhak ‘mengajar’ Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk mengikut telunjuk parti tersebut.

Pemangku Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed berkata, Kit Siang juga mesti menghentikan kritikan dan tuduhan tidak berasas terhadap Abdul Hadi.

Menurut beliau, tiada rundingan tentang pelaksanaan hudud antara Pas dan UMNO seperti yang didakwa oleh Kit Siang.

“Sebaliknya, apa yang berlaku adalah penubuhan sebuah jawatankuasa teknikal berhubung hudud yang dianggotai kerajaan Pas Kelantan dan kerajaan Persekutuan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kit Siang dalam satu kenyataan melalui laman blog beliau di http://blog.limkitsiang.com hari ini menuduh Abdul Hadi mengamalkan fahaman politik ‘matlamat menghalalkan cara’ berikutan kesediaan parti itu berunding dengan UMNO tentang hudud.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu bukan sahaja menyifatkan tindakan tersebut sebagai bertentangan dengan nilai-nilai Islam sejagat iaitu adil dan amanah malah, beliau turut mempersoalkan seruan Abdul kepada ahli-ahli Pas agar tidak membuat sebarang tanggapan tentang keikhlasan UMNO dalam rundingan berkenaan dan menyerahkan perkara tersebut kepada ketentuan Allah S.W.T.

Mahfodz menambah, Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) telah dibentangkan lebih tiga kali oleh dua Exco Kerajaan Pas Kelantan kepada majlis pimpinan pakatan pembangkang sebelum diluluskan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan 19 Mac lalu.

“Pembentangan itu bukan bertujuan mendapatkan persetujuan majlis pimpinan pakatan pembangkang kerana kita menggunakan kaedah bersetuju untuk tidak bersetuju,” jelasnya.

Beliau juga meminta Kit Siang berhenti mengungkit keputusan-keputusan yang dibuat oleh Abdul Hadi yang dikatakan melanggar ketetapan yang dibuat oleh majlis pimpinan pakatan pembangkang.

“Mengenai dakwaan Abdul Hadi merestui calon Pas di enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diperuntukkan kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan PKR juga telah meletakkan calon-calon mereka di kerusi DUN dan Parlimen yang ditandingi calon-calon Pas,” katanya.

Mahfodz memberitahu, Kit Siang juga seharusnya memahami Abdul Hadi tidak merestui keputusan pakatan pembangkang menamakan Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor setelah mengambil kira pandangan Majlis Syura Ulama Pas.
RakyatNews

No comments:

Post a Comment