ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: PAS PERMATANG PAUH TIDAK HIRAU ARAHAN MAT SABU, PATUH KEPADA PRESIDEN

Thursday 23 April 2015

PAS PERMATANG PAUH TIDAK HIRAU ARAHAN MAT SABU, PATUH KEPADA PRESIDEN

BUTTERWORTH: PAS Permatang Pauh hanya akan menunggu arahan presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung gerak kerja bahagian itu untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh.
Yang Dipertuanya Omar Hassan berkata, kawasan itu tidak akan mengambil kira pandangan atau arahan sama ada daripada Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang yang juga Timbalan Presiden parti Mohamad Sabu, ataupun pengarah pilihan raya PAS untuk PRK berkenaan iaitu Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.
"PAS Permatang Pauh hanya akan dengar arahan dan akur kepada tuan guru presiden.
"Kami tak mahu ambil kira pandangan dia (Mujahid) sebab mereka tak ketemu dengan kami. (Sebelum beri pandangan)...dia kena turun jumpa kami baru dapat maklumat (tentang sentimen akar umbi)," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas PAS Permatang Pauh di Dewan Masjid Seberang Jaya, di sini Rabu malam.
Omar juga berkata, PAS Permatang Pauh masih berpegang kepada keputusan mesyuarat agung bahagian itu 19 April lepas supaya Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menarik balik kenyataannya tidak menyokong rang undang-undang persendirian berkaitan hudud.
Omar berkata, sebagai seorang yang beragama Islam, Wan Azizah harus menyokong undang-undang itu, dan bukannya mengeluarkan kenyataan tidak bersetuju dengan pelaksanaannya.
"Kami sekali lagi meminta Wan Azizah tarik balik kenyataan tak sokong hudud dan mohon maaf kepada umat Islam di seluruh negara...sebab kenyataan itu  mengguriskan (hati umat Islam)," katanya.
Pada mesyuarat agung kawasan yang lepas, PAS Permatang Pauh menuntut PKR menarik balik kenyataan tidak menyokong rang undang-undang persendirian berkaitan hudud jika mahukan sokongannya pada PRK kali ini.
Mereka turut memberi tempoh sehingga hari penamaan calon, 25 April ini, atau berdepan dengan risiko tidak mendapat kerjasama sepenuhnya daripada PAS Permatang Pauh.
Sementara itu, Ketua Penerangan kawasan Jamsari Samad berkata, sukar bagi mereka untuk bekerjasama dengan PKR sekiranya terus berlaku percanggahan pendapat tentang hudud, kerana ia akan menyukarkan pihaknya memberi penerangan kepada pengundi beragama Islam sewaktu tempoh berkempen.
"Bila kami turun berkempen untuk dia (PKR), sudah tentu kesukaran itu akan berbalik kepada PAS sendiri," katanya.
Ditanya mengenai keputusan Pemuda Sosialis DAP (Dapsy) Pulau Pinang semalam bahawa pergerakan itu sanggup mengetepikan persengketaan sementara bagi menumpukan kepada PRK kali ini, Omar berkata PAS Permatang Pauh hanya akan menerima permohonan maaf Dapsy Pulau Pinang kepada Abdul Hadi.
"Kalau dia hormati presiden, dan turut membuat permohonan maaf, maka kami juga tidak akan ada masalah," katanya.
PRK Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon Anggota Parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui anggota keluarganya sekali gus menyebabkan Anwar hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.
Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan proses penamaan calon bagi PRK itu pada 25 April manakala hari pengundian pada 7 Mei. - mStar

No comments:

Post a Comment