ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: BERZIKIR SAMBIL "MENGGOYANG BADAN" TIDAK DILARANG - JK FATWA KEBANGSAAN

Tuesday 21 April 2015

BERZIKIR SAMBIL "MENGGOYANG BADAN" TIDAK DILARANG - JK FATWA KEBANGSAAN

PUTRAJAYA: Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan (JFK) Prof Emeritus Tan Sri Abd Shukor Husin berkata secara asasnya tiada larangan terhadap perbuatan melakukan zikir sambil 'menggoyangkan badan'.

Diminta mengulas isu zikir sambil 'menari' yang dilakukan oleh sebuah kumpulan qasidah dan zikir yang tersebar luas di aplikasi WhatsApp, beliau berkata bagaimanapun zikir yang dilakukan haruslah tidak keterlaluan.

Hingga ia boleh menghilangkan matlamat zikir iaitu untuk mengingat, mendekatkan dan menambah ketakwaan kepada Allah, kata beliau.

Abd Shukor berkata perkara penting yang harus diambil perhatian ialah apa yang dilakukan tidak bersifat keterlaluan kerana dalam agama apa sahaja yang bersifat melampaui batas adalah ditolak.

Beliau bercakap pada sidang media selepas mesyuarat Muzakarah JFK di sini pada Isnin.

Dalam isu berkaitan, Abd Shukor berkata, JFK tidak pernah menarik balik pengharaman ke atas tariqat Naqsyabandiah Al-Aliyah pimpinan Syeikh Nazim yang diputuskan pada 3 April 2000.  

Katanya, jawatankuasa tersebut mendapati tariqat itu bertentangan dengan fahaman akidah Ahli Sunnah wal-Jamaah dan menyeleweng dari ajaran Islam.

Abd Shukor juga berkata jawatankuasa itu tidak menemui fakta sahih untuk mengaitkan kumpulan Habib, yang terkenal dengan program qasidah dan zikir, dengan tariqat itu.

Walaupun tokoh qasidah terkenal dari Indonesia Habib Syech Abdul Qadir Assegaf yang terkenal dengan lagu Ya Hanana dikatakan pernah bergambar bersama Syeikh Nazim, kata Abd Shukor.

"Sejak akhir-akhir ini telah dikalutkan dengan isu tariqat Naqsyabandiah Al-Aliyah Syeikh Nazim Al-Haqqani dalam pelbagai media sosial dan cuba dikaitkan dengan kumpulan Habib," kata beliau.

No comments:

Post a Comment