SUBANG JAYA: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah bahawa baginda tidak berkenan dengan penggunaan slogan "Kita Lawan" untuk kontinjen Selangor yang akan beraksi di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2016.
Ini kerana, titah baginda slogan "Kita Lawan" itu telah diguna pakai oleh sebuah parti politik.
"Justeru, beta tidak mahu masyarakat umum tersalah tafsir atau menganggap bahawa kontinjen Selangor mencampur-adukkan atau cuba berpolitik di dalam sukan.
"Beta berpendapat lebih baik kontinjen Selangor untuk SUKMA 2016 mencari slogan lain lebih bersemangat dan dapat berbangga mewakili Selangor, serta tidak mempunyai kontroversi yang boleh menjejaskan nama baik atlet, pasukan dan Selangor yang kita kasihi ini," titah baginda pada majlis Anugerah Sukan Selangor 2014 yang turut dihadiri Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, di sini malam ini.
Baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan Selangor, Amirudin Shari mengumumkan penggunaan slogan itu untuk atlet negeri berkenaan yang akan beraksi pada SUKMA ke-16 di Sarawak yang dijadualkan Julai tahun depan.
Pemilihan slogan itu mendapat bantahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional Selangor pada sidang DUN lepas, berikutan "Kita Lawan" adalah slogan kempen politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bertujuan membebaskan Penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara atas kesalahan liwat.
Dalam titahnya, Sultan Selangor mengingatkan agar semangat kesukanan tidak dicemari dengan unsur politik atau perkauman dan baginda menyeru badan-badan sukan, atlet dan penyokong supaya mengetepikan fahaman politik serta tidak membawanya masuk ke dalam pentadbiran sukan.
"Beta sentiasa mengambil berat dan mengikuti perkembangan sukan di Selangor. Beta masih ingat pada era 60-an sehingga 80-an, sukan menjadikan Selangor sebuah negeri yang terkenal serta dihormati dan ini hasil usaha bersungguh-sungguh pemimpin serta atlet Selangor dan komitmen mereka yang sangat tinggi untuk mencapai kejayaan bagi negeri ini yang mereka wakili," titah baginda.
Sultan Sharafuddin turut menegur kegagalan kontinjen Selangor yang hanya menduduki tempat keempat pada SUKMA lepas serta kegagalan pasukan bola sepak Selangor menjuarai Piala Malaysia sejak beberapa musim lepas.
Baginda bertitah kerajaan Selangor telah banyak menyediakan kemudahan sukan di setiap daerah, justeru atlet serta pasukan yang mewakili Selangor sepatutnya menjadi juara pada setiap kejohanan.
"Mengapa perkara tersebut tidak berlaku (kejayaan), oleh itu pengurus pasukan, pegawai serta atlet perlu membuat 'post-mortem' bagi mencari punca kejatuhan ini.
"Apa yang membimbangkan beta ialah akhir-akhir ini, beta dapati pentadbiran dan pengurusan beberapa kelab serta persatuan sukan di Selangor menghadapi masalah dalaman yang mengakibatkan kegagalan dan kemunduran sukan di negeri ini," titah baginda.
Sultan Selangor turut menegur pengurusan kewangan di sesetengah persatuan sukan yang banyak menimbulkan masalah serius disebabkan kurang mempunyai perancangan jangka panjang serta tidak mempunyai peruntukan kewangan yang seimbang.
Titah baginda, jika keadaan itu berterusan, ia akan melemahkan semangat atlet dan pemain yang akhirnya akan menjejaskan prestasi mereka.
"Oleh itu, beta berharap pengurus dan pegawai sukan hendaklah memberi sepenuh komitmen dan bekerja bersungguh-sungguh sebagai sebuah pasukan bagi memastikan kegemilangan sukan di negeri ini dikekalkan.
"Beta suka mengingatkan kepada pegawai persatuan supaya tidak bertelagah sesama sendiri atau menyimpan perasaan hasad dengki serta cuba menjatuhkan antara satu sama lain," titah baginda.
Pada majlis itu, penerjun akuatik Chew Yi Wei dan atlet karate Syakilla Salni Jefry Krosnan, masing-masing dipilih sebagai Olahragawan dan Olahragawati Selangor 2014. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment