KUALA LUMPUR: Senarai aturan urusan mesyuarat dan usul-usul dalam Dewan Rakyat hari ini menyaksikan Rang Undang-undang (RUU) persendirian mengenai pelaksanaan Hudud berada dalam giliran terakhir.
Kemasukan RUU tersebut telah difailkan Ahli Parlimen PAS Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai usaha terkini bagi membentang dan membahaskannya di Parlimen.
Aspirasi Abdul Hadi dan kerajaan PAS Kelantan itu adalah antara perkara yang dinantikan banyak pihak dalam sesi persidangan Dewan Rakyat kali ini yang akan berakhir dua hari lagi iaitu pada 9 April.
Berdasarkan kelaziman peraturan dalam Dewan Rakyat, urusan kerajaan menjadi keutamaan untuk diselesaikan sebelum pembentangan dan perbahasan hal-hal lain, termasuk RUU persendirian.
Oleh kerana itu, kemungkinan untuk RUU pelaksanaan hudud itu dibentangkan hari ini adalah tipis.
Rang berkenaan iaitu RUU Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 19 Mac lalu dengan mendapat sokongan sebulat suara daripada kesemua kesemua 44 anggota dewan. Kesemua 12 anggota dewan daripada Barisan Nasional (BN) turut menyokong rang undang-undang itu.
Dalam perkembangan hari ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membacakan buat kali kedua mengenai RUU Langkah-Langkah Khas Menentang Keganasan Di Luar Negara 2015.
Antara yang tersenarai dalam aturan mesyuarat adalah mengenai RUU Penjara (Pindaan), RUU Kanun Keseksaan (Pindaan ) 2015, RUU Pencegahan Jenayah (Pindaan) 2015, RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2015, RUU Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Pindaan) 2015, yang kesemuanya dibentangkan oleh Zahid.
Kit Siang Terkejut Hudud Tersenarai Dalam Aturan Dewan Rakyat
Penasihat DAP Lim Kit Siang hari ini mengatakan beliau terkejut dengan penyenaraian Rang Undang-Undang (RUU) persendirian hudud yang terkandung dalam aturan mesyuarat Dewan Rakyat hari ini.
Katanya, ini kali pertama beliau melihat RUU tersebut dalam aturan mesyuarat Parlimen dan perkara itu jelas membuktikan Hadi memungkiri janjinya untuk membentangkan RUU itu terlebih dulu kepada Pakatan Rakyat (PR).
"Saya amat terkejut, ini pertama kali saya melihat perkara sebegini (RUU dalam aturan mesyuarat Parlimen).
"Hadi membelakangi PR, beliau pernah berjanji untuk membentangkan RUU persendirian ketika dalam mesyuarat tertinggi PR lalu," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Hari ini RUU persendirian hudud tersenarai dalam aturan urusan mesyuarat, bagaimanapun ia menjadi perkara terakhir dalam senarai perbahasan dalam persidangan Dewan Rakyat sesi ini yang akan berakhir pada Khamis.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri sebelum ini berkata rang undang-undang persendirian itu mungkin tidak diangkat sebagai agenda dalam sesi kali ini kerana aturan urusan mesyuarat sudah penuh.
No comments:
Post a Comment