ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: SOLAT JEMAAH & AMARAN RASULULLAH S.A.W

Friday 17 April 2015

SOLAT JEMAAH & AMARAN RASULULLAH S.A.W


CALON pengantin lelaki di Arab Saudi dikehendaki solat jemaah di masjid lima waktu setiap hari. Itu berita dalam akhbar kelmarin. Fikiran saya menerawang...bagaimana agaknya kalau peraturan seperti itu dibuat di negara kita?

Siapa yang pernah ke Makkah, tahulah bagaimana orang di sana bergegas ke masjid sebaik azan berkumandang. Kedai-kedai ditinggalkan tidak berjaga, malah tidak bertutup. Tetapi tiada yang berani curi kerana ada hukum hudud.

Ikut mazhab Hanafi dan Maliki, hukum solat jemaah sunat mu'akkad, sunat yang dituntut. Bagi mazhab Hanbali, fardu ain. Manakala bagi Syafi'i, fardu kifayah. Daripada hadis, kita selalu diperingatkan mengenai gandaan 27 kali pahala jemaah berbanding solat sendirian. Itu cerita mengenai kelebihan.

Kita terlupa dalam banyak hadis lain, Nabi SAW sering mengingatkan keutamaan solat berjemaah dengan nada amaran. Salah satunya: “Seberat-berat solat bagi orang munafik ialah solat Isya’ dan solat Subuh.

Sekiranya mereka mengetahui apa yang terkandung dalam dua solat berkenaan, tentulah mereka akan mendatanginya walaupun dalam keadaan merangkak.

Demi ALLAH, sesungguhnya mahu sahaja aku memerintahkan orang mendirikan solat berjamaah bersama para hadirin, kemudian aku pergi dengan beberapa orang yang membawa kayu api kepada orang yang tidak menghadirinya, lalu aku bakar rumah-rumah mereka.” (Riwayat Bukhari daripada Abu Hurairah RA).
  
Dalam hadis lain, juga daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda, "Tidak sah solat bagi tetangga masjid, kecuali di masjid."

Ibnu Ummi Maktum berkata: "Wahai Rasulullah, saya buta dan rumahku pula jauh dari masjid. Penunjuk jalan saya tidak serasi dengan saya. Adakah keringanan untuk saya bersolat di rumah? Rasulullah SAW bertanya: “Adakah engkau mendengar azan?” Jawabku: Ya. Rasulullah saw bersabda: “Kamu tidak mendapat keringanan.” (Riwayat Abu Daud).
  
Kalaulah orang buta tidak diberi kelonggaran, apa lagi orang yang celik. Akan tetapi, orang yang celik ini, ramai pula yang buta hatinya.
  
Dalam satu hadis 'hasan' riwayat Abu Daud, Rasulullah SAW bersabda: “Tidak terdapat tiga orang yang mendiami sebuah kampung atau penempatan yang tidak didirikan solat jemaah melainkan mereka akan dikuasai syaitan. Maka hendaklah kamu berjamaah, sesungguhnya serigala hanya memakan kambing yang bersendirian”.
  
Daripada Ibnu Abas RA, Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa mendengar azan, sedang tidak ada uzur yang menghalanginya mengikuti sembahyang berjemaah, maka tidak sah sembahyang yang dilakukan sendirian.” Mereka (para sahabat) bertanya: “Apa itu uzur?” Rasulullah SAW menjawab: “Rasa takut (tidak aman) atau sakit.” (Riwayat Abu Daud). Demikianlah bagaimana Nabi SAW mengingatkan kita betapa pentingnya solat jemaah. Apa juga yang disyariatkan dalam Islam, pasti ada manfaatnya, sama ada kita sedar ataupun tidak.
  
Saya yakin ramai yang pernah baca hasil kajian pakar bukan Islam mengenai penemuannya yang menakjubkan bahawa solat berjemaah boleh merangsang proses pertukaran cas elektrik dalam badan kita untuk mengembalikan keseimbangan cas positif dan negatif yang menyebabkan kita bertenaga semula.

Sesungguhnya aktiviti seharian yang kita lakukan telah menyebabkan cas-cas dalam badan menjadi tidak seimbang menyebabkan kita hilang banyak tenaga dan tidak bermaya.
   
Sebab itulah, dalam hadis, Nabi SAW menyatakan kepentingan solat berjemaah Subuh dan Isya' yang mana kedua-duanya adalah permulaan dan penutup hari, waktu yang kita amat memerlukan keseimbangan cas dalam badan.

Dan atas sebab itulah juga, solat berjemaah begitu menitikberatkan posisi yang betul dalam saf kerana itulah yang menentukan keberkesanan proses yang dimaksudkan.
  
OK, berbalik pada berita di Arab Saudi tadi, saya masih tidak habis memikirkan bagaimanalah keadaannya jika peraturan itu dipraktikkan di negara kita. Apa pun, janganlah ada yang tunjuk warak secara tiba-tiba.

Yang penting, belajar dahulu. Jangan seperti apa yang pernah berlaku, disebabkan tergila-gilakan anak dara pak lebai, seorang jejaka yang sebelum itu kaki culas solat, tiba-tiba berubah jadi lebai segera. Ketika bertandang ke rumah keluarga gadis pujaannya, masuk sahaja waktu, dia diajak oleh bapa gadis itu solat berjemaah.

Kerana takut disuruh jadi imam, pemuda itu beri alasan: "Tak apa pakcik, kami sudah (solat) 'jimak' tadi!" Menyingalah pak lebai. Tambah pula, marah pada anak gadisnya yang menumpang kereta pemuda itu balik pun belum habis lagi walaupun si anak beri alasan, temannya  itu tidak tahu jalan.
  
Lain kali, sebut betul-betul, jamak bukannya jimak!

No comments:

Post a Comment