ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: PAS PERMATANG PAUH BERI KATA DUA KEPADA PKR !!!

Monday 20 April 2015

PAS PERMATANG PAUH BERI KATA DUA KEPADA PKR !!!


pas permatang pauh

Permatang Pauh – Pas Permatang Pauh meluluskan usul menggesa kepimpinan PKR membuat permohonan maaf secara terbuka dan menarik balik kenyataan mereka yang tidak menyokong pelaksanaan Rang Undang-undang Persendirian berkaitan hudud.

Usul itu dicadangkan Pemuda Pas kawasan berkenaan pada Mesyuarat Agung Tahunan cawangan itu yang ke 38 di Dewan Haji Yussof Rawa di sini kelmarin.

Yang Dipertuanya, Omar Hassan berkata, PKR diberi tempoh sebelum hari penamaan calon untuk membuat permohonan maaf dan menarik semula kenyataan tidak menyokong hudud.

Menurutnya, jika PKR bersetuju dan meminta maaf secara terbuka pihaknya akan meneruskan kerjasama dengan parti itu dalam PRK Permatang Pauh kelak.

“Pendirian ini dibuat dan disepakati oleh akar umbi pada mesyuarat agung kami.

“Ahli Pas di Permatang Pauh mampu beri kemenangan kepada calon yang akan bertanding pada PRK nanti,” katanya ketika ditemui media di sini semalam.

Ditanya sama ada Pas Permatang Pauh akan memberi sokongan jika Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dipilih menjadi calon, Omar enggan mengulas.

Dalam persidangan yang berlangsung hampir lima jam itu, keadaan dewan menjadi gamat apabila usul itu dibentangkan oleh wakil Pemuda Pas.

Ada perwakilan yang menggesa agar kepimpinan PKR dan DAP tampil untuk berjumpa dengan kepimpinan Pas bagi memohon maaf atas keceluparan kenyataan mengenai isu hudud yang mengguris hati ahli Pas.

Bekas Ketua Penerangan Pas Permatang Pauh, Jamsari Samad ketika membahaskan usul itu berkata, tindakan rakan sekutu mereka yang menolak pelaksanaan hudud menyukarkan jentera Pas untuk turun padang bagi menjelaskan pendirian mereka terhadap PR.

“Macam mana kita nak jelaskan dan minta pengundi menyokong kita sedangkan calon yang kita tampilkan nanti tidak menyokong pelaksanaan hudud.

“Malah ada kenyataan pemimpin PKR dan DAP yang dilihat terlalu biadap dan kurang ajar sehingga mahu memutuskan hubungan dengan presiden. Apa maknanya kita bekerjasama dengan mereka jika mahu memutuskan hubungan dengan presiden kami,” katanya.

Sementara itu,Omar berkata, pihaknya tidak berhasrat untuk membelakangi pendirian Pas Pusat sebaliknya hanya mahu perkara itu diberi perhatian kerana disuarakan oleh akar umbi.

“Keputusan ini bukan dibuat oleh saya sendiri tetapi memang boleh dilihat sendiri apa yang akar umbi mahu pada mesyuarat agung hari ini (semalam),” katanya.

Terdahulu ketika ucapannya,Omar berkata, Pas Permatang Pauh akan membuat sedikit kejutan pada PRK Permatang Pauh jika rakan sekutu mereka menyinggung dasar perjuangan Pas.

Beliau berkata, Pas Permatang Pauh juga sudah bersiap sedia untuk membantu kempen pada PRK Permatang Pauh dan memastikan PR terus menerajui kerusi Parlimen Permatang Pauh jika syarat itu dipenuhi.

No comments:

Post a Comment