ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: PEMBINAAN RUMAH KEKAL DIJANGKA SIAP MENJELANG RAMADHAN - JKR

Sunday 12 April 2015

PEMBINAAN RUMAH KEKAL DIJANGKA SIAP MENJELANG RAMADHAN - JKR



TANAH MERAH: Pembinaan 27 buah rumah kekal untuk mangsa banjir di jajahan Tanah Merah dijangka siap menjelang Ramadhan iaitu pertengahan Jun depan.

Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Tanah Merah, Mazlan Mustafa berkata pembinaan rumah kekal itu melibatkan 11 buah kampung.

"Sekarang proses pembinaan kesemua rumah kekal itu sudah mencapai 60 peratus siap. 

"Rumah berkenaan mula dibina pada 24 Februari lepas," katanya ketika menyampaikan taklimat mengenai kerja membina rumah berkenaan kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kampung Kusial di sini, Sabtu.

Muhyiddin dalam lawatan kerja sehari ke negeri ini.

Turut hadir meninjau proses pembinaan rumah kekal itu ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim dan Anggota Parlimen Tanah Merah Datuk Ikmal Hisyam Abd Aziz.

Terdahulu, Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat khas pasca banjir negeri Kelantan di Pejabat Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) di Dabong, Kuala Krai.

Beliau meninjau lokasi penempatan mangsa banjir di kawasan berkenaan serta Sekolah Kebangsaan Dabong dan SMK Dabong, yang terjejas banjir. 

Selain itu, Muhyiddin juga menghadiri majlis penyerahan bantuan pemulihan ekonomi mangsa banjir di padang SMK Tanah Merah I.

Sementara itu, Mohd Shukri Abu Kassim, 32, yang merupakan penerima rumah kekal berkenaan berkata beliau bersyukur kerana kerajaan sudi membantu untuk membina kembali rumahnya yang musnah akibat banjir pada Disember lepas.

"Memang saya tidak sangka dapat bantuan ini, saya hanya mampu ucap terima kasih kepada pihak kerajaan yang menolong kami sekeluarga," katanya.

Beliau turut melahirkan rasa syukur dapat bertemu dengan pemimpin kedua negara.

"Jika dahulu hanya dapat lihat dia (Muhyiddin) dalam televisyen tetapi ini dapat lihat depan mata. 

"Terima kasih kerana sudi hadir dan melawat tapak pembinaan rumah saya," katanya.


mStar

No comments:

Post a Comment