ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: CAJ PERKHIDMATAN JALUR LEBAR AKAN DIKURANGKAN - DS AHMAD SHABERY

Friday, 3 April 2015

CAJ PERKHIDMATAN JALUR LEBAR AKAN DIKURANGKAN - DS AHMAD SHABERY



KUALA LUMPUR: Syarikat telekomunikasi (telco) telah bersetuju untuk mengurangkan caj perkhidmatan jalur lebar mereka sekurang-kurangnya enam peratus daripada harga asal bagi menggalakkan penggunaan internet dalam kalangan orang ramai.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata perkara itu diputuskan setelah beberapa siri perbincangan dengan pihak telco diadakan, dan keputusan itu akan diumumkan secara rasmi dalam masa sebulan.

"Saya rasa dalam konteks negara yang bersetuju dengan pasaran bebas, harga yang murah perlu ditawarkan kerana kita mahu pengguna yang ramai, boleh dinikmati oleh golongan muda dan tidak perlu berpendapatan tinggi untuk menikmati perkhidmatan jalur lebar," katanya kepada pemberita selepas majlis pra-pelancaran 'Content Malaysia Pitching Centre' di sini hari ini.

Beliau berkata di samping caj yang berpatutan, syarikat telco juga perlu melabur kembali untuk perbelanjaan pembangunan dalam meningkatkan mutu perkhidmatan yang disediakan.

"Sebagai contoh, di mana tempat yang kurang menara pemancar perlu ditambah supaya perkhidmatan jalur lebar dapat diperluaskan dengan menambah baik kelajuan internet,"katanya

Sementara itu, Ahmad Shabery berkata pusat sehenti "Content Malaysia Pitching Centre" yang terletak di bangunan Platinum Sentral, KL Sentral itu merupakan inisiatif kementerian dalam merangsang dan mencambah idea-idea baharu bagi semua kandungan kreatif.

Pusat itu akan memberi peluang kepada generasi muda dalam memberikan pendapat dan pemangkin ke arah pencambahan idea yang sejajar dengan perkembangan dunia yang semakin pesat seiring dengan teknologi terkini.

"Ia juga bertujuan memudahkan penggiat industri serta generasi muda untuk memohon dana-dana di bawah satu koordinasi sehenti serta menjadi tempat tayangan filem, kelas lanjutan dan pelbagai aktiviti kreatif dapat dijalankan di sini," katanya.

Ahmad Shabery dalam ucapan perasmiannya berkata walaupun saiz pasaran kandungan kreatif di Malaysia bernilai RM7 bilion, hanya 15 peratus sahaja melibatkan kandungan tempatan.

Untuk itu, cabaran paling besar sekarang ialah untuk mendidik masyarakat untuk berhadapan dengan dunia digital baharu, katanya.
mStar

1 comment:

  1. KORANG PERCAYA? aku susah nak percaya dah dengan kata2 menteri2 nih..

    ReplyDelete