KUALA LUMPUR: Laporan polis telah dibuat pada Rabu terhadap blogger kontroversi Alvin Tan berhubung tindakannya menghina laungan azan.
Presiden Pertubuhan Pemikir Muda Malaysia (PPM), Mohd Rafiq Naizamohideen bersama-sama kepimpinan badan bukan kerajaan (NGO) - antaranya Pemuda Pemikir Malaysia dan Pemuda UMNO bahagian - hadir di ibu pejabat Balai Polis Dang Wangi untuk membuat laporan tersebut.
“Kita hadir ke balai polis untuk membuat satu laporan polis berkenaan tindakan Alvin Tan yang telah menerbitkan satu video yang menghina laungan azan yang mengiringinya dengan petikan piano dalam keadaan tidak berbaju,” kata Rafiq.
“Alvin yang bukan kali pertama melakukan perkara sedemikian (menghina agama Islam) kali ini telah melakukan satu penghinaan yang lebih besar kerana sebagai umat Islam, kita menggunakan azan untuk memanggil umat Islam datang ke masjid dan surau untuk menunaikan solat,” kata Rafiq.
Rafiq berharap Alvin tidak terlepas daripada tindakan undang-undang kali ini dan meminta agar pihak polis termasuk kerajaan supaya bertegas dalam hal ini.
“Kita perlu menggunakan hubungan antara negara untuk mengekstradisi, membawa pulang beliau untuk dihadapkan ke muka pengadilan,” kata Rafiq.
Rafiq yang juga exco Pemuda Umno menegaskan bahawa satu tindakan berat perlu dikenakan terhadap Alvin agar menjadi pengajaran kepada mana-mana individu yang menghina, bukan sahaja agama Islam dan bangsa Melayu, tetapi juga agama dan bangsa lain.
Rafiq memuji langkah kerajaan memperkenalkan Akta Hasutan di mana jelas kepentingan akta ini dalam mengekang tindakan yang mampu mengugat ketenteraman negara.
“Rakyat seluruh Malaysia, khususnya generasi muda, dapat membuka mata melihat bahawa kalau kita tidak ada akta yang tegas seperti Akta Hasutan, maka keadaan kita akan lebih kucar kacir,” kata beliau.
Rafiq berkata apa sekali pun Alvin tetap perlu diheret ke Malaysia untuk dikenakan tindakan, sama ada dengan meminta pertolongan atau kerjasama daripada Interpol, mengekstradisi Alvin Tan, atau mengadakan satu perbicaraan tanpa kehadirannya.
No comments:
Post a Comment