ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: MCA : JANGAN AMBIL HATI UCAPAN MELAMPAU SESETENGAH AHLI UMNO

Monday 1 December 2014

MCA : JANGAN AMBIL HATI UCAPAN MELAMPAU SESETENGAH AHLI UMNO


GEORGE TOWN: Umno berjuang untuk kepentingan semua kaum, jadi rakyat tidak harus kecewa dengan ucapan sesetengah ahli Umno tertentu yang mungkin dianggap melampau, kata Datin Paduka Chew Mei Fun.

Menurut Naib Presiden MCA itu, ucapan penggulungan Datuk Seri Najib Tun Razak pada Perhimpunan Agung Umno, Sabtu lalu jelas menunjukkan bahawa beliau komited untuk bekerja demi kebaikan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Katanya, Najib lebih mengetahui bahawa beliau adalah Perdana Menteri untuk semua.

"Hala tuju beliau dalam mengemudi Barisan Nasional adalah jelas. Walau bagaimanapun dalam parti besar seperti Umno, kadang-kadang mungkin ada ahlinya yang buat kenyataan melampau hingga disalah anggap sebagai pendirian parti itu.

"Orang ramai tidak perlu terlalu terganggu dengan ucapan-ucapan seperti itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di sini, Ahad.

Pada Perhimpunan Agung Umno 2014 baru-baru ini, perwakilan Datuk Mohd Zaidi Mohd Said yang dipetik oleh sebuah portal berita berkata, orang Cina di Pulau Pinang mendapat kekayaan dan kuasa melalui aktiviti maksiat seperti perjudian dan pelacuran.

Kata-kata beliau itu didapati menyinggung perasaan sesetengah pihak.

Mohd Zaidi ketika dihubungi berkata, beliau akan memanggil satu sidang media pada Isnin bagi menjelaskan mengenai isu itu.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng menggesa polis untuk menyiasat Mohd Zaidi kerana membuat kenyataan berunsur fitnah jenayah dan hasutan.
mStar

No comments:

Post a Comment