ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: #BAJET2015 : RON95, DIESEL & LPG TIDAK DIKENAKAN GST

Friday 10 October 2014

#BAJET2015 : RON95, DIESEL & LPG TIDAK DIKENAKAN GST


alt

KUALA LUMPUR 10 Okt - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan tiada Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST) akan dikenakan kepada bahan bakar petrol dan diesel.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Bajet 2015 : Ekonomi Keperluan Rakyat di Dewan Rakyat, hari ini.

Katanya, skop barang yang tidak dikenakan GST diperluaskan termasuk buah-buahan, roti putih dan Ubat-ubatan Penting Nasional.

Najib yang juga Menteri Kewangan turut menjelaskan, kerajaan akan membangunkan satu mekanisme baharu pemberian subsidi petroleum yang akan diumumkan dalam masa terdekat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Langkah ini dilakukan untuk memastikan pemberian subsidi yang lebih bersasar serta mengambil kira kesedaran dan kesediaan rakyat terhadap langkah rasionalisasi subsidi.

Kini lebih RM21 bilion setahun diperuntukkan untuk membiayai subsidi petrol RON95, diesel dan gas memasak LPG.

"Peruntukan subsidi sudah meningkat lebih 14 kali ganda daripada RM1.65 bilion pada 2002 kepada RM23.5 bilion pada 2013, semata-mata untuk mengekalkan harga runcit petrol yang rendah," katanya.

Beliau berkata, ianya berlaku disebabkan peningkatan jumlah kenderaan daripada 13.6 juta unit pada 2008 kepada 23.7 juta unit pada 2013.

Jelasnya, kerajaan telah memperuntukkan RM588 juta bagi pelbagai subsidi pada 1994 dan jumlah itu sudah meningkat kepada RM40.5 bilion pada 2014.

"Bagi menambah baik kedudukan kewangan awam, kerajaan komited untuk melaksanakan langkah rasionalisasi subsidi terutamanya subsidi petroleum.

"Langkah ini bertujuan memastikan pemberian subsidi lebih bersasar serta mengurangkan ketirisan dan penyeludupan," katanya.

Najib berkata kerajaan akan memastikan langkah rasionalisasi subsidi dilaksanakan secara berperingkat untuk memastikan ia tidak membebankan rakyat.

No comments:

Post a Comment