ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: PELAJAR TINGKATAN DUA PATAH TULANG RUSUK DIBELASAH SENIOR

Friday 24 October 2014

PELAJAR TINGKATAN DUA PATAH TULANG RUSUK DIBELASAH SENIOR

Mangsa ketika dirawat di ICU HTAR dan dibenarkan keluar

BALIK PULAU - Gara-gara menggeledah bilik senior untuk mencari kasut rakannya yang hilang, seorang pelajar tingkatan dua patah tulang rusuk dibelasah beramai-ramai di hostel Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di sini, Rabu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.45 malam, mangsa dikatakan bersama rakannya berusia 15 tahun masuk ke bilik senior untuk mencari kasut berkenaan yang dikatakan bernilai RM400.

Bagaimanapun, perbuatan mereka disedari pelajar tingkatan empat sebelum bertindak menarik mangsa ke sebuah bilik.

Tidak berpuas hati dengan perbuatan pelajar junior itu, difahamkan lapan pelajar senior membawa kedua-dua mangsa ke bilik elektrik sebelum dibelasah.

Kedua-dua mangsa dipercayai dipukul dengan seterika panas selain dipijak menyebabkan mereka cedera di bahu dan patah tulang rusuk.

Menurut sumber, kejadian itu hanya disedari warden asrama sehari kemudian dan menempatkan mangsa di bilik rehat untuk menunggu arahan lanjut.

Menurutnya, warden kemudian memaklumkan kejadian itu kepada penolong kanan hal ehwal pelajar sebelum diarah menghantar mereka pulang.

"Mangsa yang berasal dari Klang dihantar ke lapangan terbang dan setibanya di sana mangsa dikejarkan ke Hospital Tunku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk mendapat rawatan lanjut.

"Mangsa ditahan di unit rawatan rapi (ICU) selepas pemeriksaan mendapati tulang rusuk yang patah itu dikatakan terkena pada jantung," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Ibu mangsa yang dihubungi Sinar Harian memaklumkan anaknya stabil dan dibenarkan keluar hospital.
Beliau berkata, akibat kejadian itu anaknya kini trauma dan murung.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Lai Fah Hin mengesahkan kejadian itu dan sudah mengenal pasti lapan pelajar yang terbabit.

"Polis masih menjalankan siasatan lanjut mengikut  Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh," katanya.
SH

No comments:

Post a Comment