ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: HADI GAGAL TANGANI KRISIS DALAMAN PAS, TIDAK BERTANGGUNGJAWAB KEKALAHAN PAS KEDAH – MSO

Tuesday 21 October 2014

HADI GAGAL TANGANI KRISIS DALAMAN PAS, TIDAK BERTANGGUNGJAWAB KEKALAHAN PAS KEDAH – MSO


Penulis buku politik popular, Mohd Sayuti Omar, berpendapat antara punca utama kejatuhan kerajaan PAS di Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu adalah disebabkan oleh sikap tidak peduli Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam menangani krisis dalaman PAS Kedah.

Mohd Sayuti yang turut dikenali sebagai MSO berkata, punca kekalahan besar Kerajaan PAS Kedah adalah disebabkan oleh sikap Abdul Hadi yang berkeras tidak mahu Menteri Besar Kedah ketika itu, (Allahyarham) Tan Sri Azizan Abdul Razak diganti dengan Menteri Besar baharu.

“Abdul Hadi gagal menangani krisis dalaman PAS Kedah.Malah kredibiliti beliau juga boleh dipersoalkan apabila beliau tidak ada akauntabiliti atau tanggungjawab di atas kekalahan Kerajaan PAS di Kedah pada 2013 dan Terengganu pada 2004.

“Malah krisis Menteri Besar di Selangor juga berlarutan kerana tindakan flip-flop beliau,” katanya.

Mohd Sayuti turut mengulas antara sebab utama Azizan sepatutnya diganti atau Abdul Hadi seharusnya menangani isu dalaman PAS Kedah.

“Selain daripada faktor kesihatan Azizan yang umum sedia maklum, perasaan tidak puas hati dikalangan pemimpin dan ahli akar umbi semakin membuak dengan pemilihan calon pilihannya pada PRU-13 yang di buat oleh Azizan.

“Azizan memilih beberapa calon kegemarannya dan bukan calon pilihan PAS Kawasan. Beliau melanggar calon pilihan PAS Kawasan. Ini membuatkan pemimpin dan ahli di peringkat kawasan marah kepada Azizan dan Abdul Hadi.

“Abdul Hadi gagal menangani isu ini di Kedah. Ini juga antara punca utama PAS hilang Kedah pada PRU-13, kerana dikhabarkan ada unsur-unsur sabotaj oleh ahli PAS sendiri, atas tindakan Azizan yang membelakangi suara akar umbi,” ujar Mohd Sayuti lagi.

Mohd Sayuti berkata demikian di Wacana Diskusi Buku ‘Kejatuhan Kerajaan PAS Kedah’, anjuran Wacana Anak Muda Negeri Sembilan, di Seremban malam kelmarin.

Abdul Hadi tidak endah Dewan Ulama PAS Kedah

Mohd Sayuti turut mendedahkan bahawa Dewan Ulama PAS Kedah (DUPK) yang bermesyuarat pada 14 Februari 2012, mengambil keputusan menuntut Azizan diturunkan dari jawatan Menteri Besar Kedah dan Pesuruhjaya PAS.

“Alasan yang diberikan oleh DUPK ialah Azizan tidak merujuk parti dalam sebarang keputusan kerajaan dan belakangkan prinsip syura dalam berjemaah, tidak memenuhi ciri-ciri kepimpinan ulama dan dikenalpasti mempunyai kepentingan peribadi dan mengamalkan penyalahgunaankuasa.

“Surat dari DUPK itu diserahkan kepada Abdul Hadi dalam satu pertemuan tanpa diduga di Melaka.

“Tetapi malangnya pertemuan itu tidak mendatangkan hasil seperti diharapkan dan amat mengecewakan DUPK apabila Abdul Hadi mengeluarkan kata-kata yang tidak seharusnya kepada anggota DUPK yang bersusah payah datang menemuinya,” kata Mohd Sayuti.

Mohd Sayuti merupakan seorang penulis buku dan blogger politik yang mempunyai hubungan rapat dengan kepimpinan PAS dan Umno. Beliau dikenali ramai dikalangan ‘inner circle’ PAS, Umno dan PKR; termasuk ketika pertembungan diantara Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998.

Buku ‘Kejatuhan Kerajaan PAS Kedah’ adalah buku ke-46 tulisan beliau.

No comments:

Post a Comment