ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: SEMAK STATUS BAYARAN BIL TNB OLEH PEMILIK PREMIS YANG DISEWA SECARA ONLINE

Sunday 26 October 2014

SEMAK STATUS BAYARAN BIL TNB OLEH PEMILIK PREMIS YANG DISEWA SECARA ONLINE


KUALA LUMPUR -  Tenaga Nasional Berhad (TNB) mendapat banyak rungutan daripada pemilik premis mengenai penyewa mereka yang telah berpindah tetapi tidak membayar bil elektrik premis mereka.

Sehubungan itu, TNB dalam satu kenyataan hari ini meminta semua pemilik premis mendaftar dengan TNB e-Services di alamat www.e-services.tnb.com.my bagi memudahkan mereka menyemak penggunaan elektrik bulanan serta status bil terkini premis mereka pada setiap masa.

“Pemilik premis boleh mengelakkan dari menanggung bil elektrik tertunggak yang ditinggalkan oleh penyewa dengan menyemak penggunaan elektrik bulanan serta status bil terkini secara dalam talian.

“Dengan mendaftar khidmat TNB e-Services di www.e-services.tnb.com.my, anda boleh menyemak rekod pembayaran penyewa dengan mudah secara online dan memilih untuk mengaktifkan bil emel premis-premis yang anda sewakan,” kata Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Pengguna TNB, Ir. Kamaliah Abdul Kadir dalam kenyataan itu.

Beliau berkata, TNB turut menyediakan perkhidmatan myTNB app yang boleh dimuat turun melalui Google Play Store dan Apple App Store bagi memudahkan orang ramai membuat pemantauan ke atas status bil elektrik premis mereka.

“Terdapat banyak kes yang dilapor dan tidak dilapor berkaitan tuan rumah dibebani bil tertunggak ditinggalkan oleh penyewa tidak bertanggungjawab termasuklah kes yang berulang.

“TNB e-Service dan myTNB app telah diperkenalkan sebagai langkah pencegahan. Sekiranya terdapat bil yang banyak tertunggak, tuan rumah boleh berurusan dengan TNB bagi memberi kebenaran untuk memasuki premis-premis dan memotong bekalan elektrik supaya pemegang akaun berdaftar tidak menanggung bil tertunggak yang besar,” katanya.

Jelas beliau,  pemilik premis boleh mendaftar sehingga 20 akaun melalui TNB e-Services dan myTNB app dan setakat ini sebanyak 600,000 pemegang akaun telah mendaftar untuk kedua-dua perkhidmatan itu.

Menurut beliau, jumlah seramai 600,000 pengguna yang mendaftar perkhidmatan secara dalam talian itu bagaimanapun hanya sebahagian kecil daripada keseluruhan pelanggan TNB di Semenanjung Malaysia lebih 8 juta orang.

Ir. Kamaliah dalam pada itu turut menasihati pemilik premis meminta penyewa mereka mendantangani kontrak elektrik dengan TNB melalui persetujuan Change of Tenancy (COT) supaya  tanggungjawab pembayaran  bil elektrik dipindahkan kepada penyewa mengikut tempoh sewaan dapat diaplikasikan.

“Dengan COT, tanggungjawab bagi menyelesaikan bil tunggakan akan diserahkan pada penyewa. Pelanggan adalah dinasihatkan untuk ke Kedai Tenaga (Pusat Khidmat Pelanggan TNB) untuk memproses COT,” tambah beliau.

No comments:

Post a Comment