ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: KES LIWAT II: PEGUAM BELA ANWAR DAKWA KONSPIRASI DAN KEKHILAFAN DALAM ANALISIS DNA

Wednesday 29 October 2014

KES LIWAT II: PEGUAM BELA ANWAR DAKWA KONSPIRASI DAN KEKHILAFAN DALAM ANALISIS DNA

Post Pic

PUTRAJAYA - Perbicaraan rayuan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim disambung hari ini dengan peguam-peguam pembelaan terus mengemukakan penghujahan mengapa Mahkamah Persekutuan harus membatalkan sabitan dan hukuman lima tahun penjara terhadap Penasihat PKR itu.

Selepas penghujahan panjang lebar oleh peguam utama Datuk Seri Gopal Sri Ram semalam, tiga peguam lain pembelaan menyatakan mereka memerlukan sepanjang hari ini untuk membuat penghujahan mereka.

Peguam N.Surendran meneruskan penghujahannya di hadapan panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria.

Ia diikuti peguam Sangeet Kaur Deo yang akan berhujah mengenai sampel yang diambil daripada sel di mana Anwar ditahan semalaman di  Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur susulan laporan polis oleh bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan mengenai dakwaan kejadian itu.

Sementara itu, peguam Ramkarpal Singh mungkin berhujah dengan terperinci mengenai analisis DNA di mana beliau akan mempertikaikan integriti sampel yang diambil daripada Mohd Saiful.

Peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pendakwaan pula  dijangka membuat penghujahannya esok, dan prosiding rayuan kes liwat Anwar mungkin berlanjutan sehingga Jumaat.

Mahkamah Apex (mahkamah tertinggi dalam sistem kehakiman Malaysia) dijadual menetapkan tarikh lain untuk menyampaikan keputusannya kerana pihak pendakwaan dan pembelaan membuat penhujahan secara menyeluruh mengenai kes itu selain membawa isu-isu baharu untuk dipertimbangkan mahkamah.

Pada 9 Jan 2012, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Anwar atas kesalahan meliwat Mohd Saiful atas alasan mahkamah tidak boleh 100 peratus pasti mengenai integriti sampel DNA yang diambil daripada Mohd Saiful.

Mahkamah telah memutuskan bahawa sampel itu boleh terjejas sebelum ia tiba di Jabatan Kimia untuk dianalisis.

Pada 7 Mac tahun ini, Mahkamah Rayuan membatalkan penghakiman Mahkamah Tinggi dan mendapati Anwar bersalah meliwat Mohd Saiful.

Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa hakim perbicaraan itu terkhilaf apabila meragui integriti sampel berdasarkan keterangan dua pakar saksi yang dipanggil oleh pihak pembelaan.

Anwar dijatuhi hukuman penjara lima tahun bagi kesalahan itu yang didakwa dilakukan di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.40 petang pada 26 Jun 2008.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Ini kes liwat kedua terhadap Anwar.

Dalam kes pertama, Anwar didapati bersalah meliwat pemandu keluarganya, Azizan Abu Bakar, di Tivoli Villa di sini pada 1994 dan dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi pada 8 Ogos 2000.

Anwar menjalani hukuman itu selepas selesai menjalani hukuman penjara enam tahun atas kesalahan rasuah setelah disabitkan terhadap empat tuduhan rasuah pada 4 April 1999.

Anwar dibebaskan pada 2 Sept 2004 apabila Mahkamah Persekutuan yang diketuai Hakim Tun Abdul Hamid Mohamad meminda sabitan kesalahan itu dan mengetepikan hukuman penjara terhadap dakwaan meliwat Azizan, dalam keputusan majoriti 2-1.

Anwar dibebaskan apabila Abdul Hamid dan dua lagi hakim Datin Paduka Rahmah Hussain dan Tengku Datuk Baharuddin Shah Tengku Mahmud bercanggah dari segi tarikh sebenar kejadian liwat, walaupun pada umumnya, ketiga-tiga hakim itu bersetuju bahawa berlakunya aktiviti liwat antara Anwar, Azizan dan adik angkat Anwar,Sukma Darmawan Sasmitaat Madja. - Bernama

No comments:

Post a Comment