ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: #BAJET2015 : SKIM KHAS BANTU BELIA MILIKI RUMAH

Friday 10 October 2014

#BAJET2015 : SKIM KHAS BANTU BELIA MILIKI RUMAH

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat mengumumkan pewujudan Skim Perumahaan Belia sebagai usaha untuk menggalakkan pemilikan rumah dalam kalangan belia di negara ini.
Najib berkata, skim itu menawarkan pemilikan rumah pertama yang bernilai tidak melebihi RM500,000 kepada belia berkahwin berumur 25 hingga 40 tahun serta mempunyai pendapatan isi rumah tidak melebihi RM10,000 dengan tempoh pembiayaan maksimum, 35 tahun.
Beliau berkata, sebanyak 20,000 unit rumah akan dibina untuk skim itu yang ditawarkan berdasarkan konsep 'siapa dulu dia dapat'.
"Bila mengupas tentang belia, pemilikan rumah merupakan satu isu besar khususnya soal harga rumah dan kebolehan biayaan," katanya ketika membentangkan "Bajet 2015: Ekonomi Keperluan Rakyat" di Dewan Rakyat, di sini.
Beliau berkata, skim itu diwujudkan secara perkongsian pintar antara kerajaan, Bank Simpanan Nasional, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta Cagamas.
Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata di bawah skim itu, kerajaan akan memberi sebanyak RM200 sebulan untuk tempoh dua tahun pertama bagi mengurangkan beban ansuran bulanan pinjaman perumahaan selain pengecualian sebanyak 50 peratus duti setem ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman.
Najib menarik perhatian apabila berkata, kerajaan turut menyediakan jaminan pinjaman sebanyak 10 peratus bagi membolehkan peminjam mendapatkan pembiayaan penuh termasuk kos insurans.
"Peminjam juga boleh mengeluarkan wang daripada Akaun 2 KWSP mereka untuk menampung pembayaran ansuran bulanan dan kos lain yang berkaitan," katanya.
Pewujudan skim perumahan itu terkandung dalam strategi keenam Bajet 2015 iaitu 'Membangun Program Transformasi Belia Negara'.
Di bawah strategi itu juga, Najib berkata, kerajaan akan mewujudkan Bandar Belia 1Malaysia dengan peruntukan RM100 juta bagi membiayai tiga projek perintis di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
"Ini bagi mewujudkan satu ekosistem komprehensif yang disertai belia untuk meningkatkan keupayaan dan memajukan diri dalam pekerjaan dan keusahawanan serta dapat menikmati kemudahan perumahan dan rekreasi," jelas Najib.

No comments:

Post a Comment