ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: UM KENAL PASTI MAHASISWANYA TERLIBAT PERHIMPUNAN HARAM

Friday 31 October 2014

UM KENAL PASTI MAHASISWANYA TERLIBAT PERHIMPUNAN HARAM



KUALA LUMPUR: Universiti Malaya (UM) telah mengenal pasti sembilan pelajarnya yang disyaki menghadiri perhimpunan haram sempena pidato Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diadakan pada 27 Oktober lepas di Dataran Dewan Tunku Canselor.

Ketua Unit Media dan Korporat UM, Izzad Zalman Abd Kader berkata, antara sembilan pelajar itu termasuk Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM), Fahmi Zainol.

Menurutnya, UM telah mengenal pasti Fahmi di dalam perhimpunan itu dan dia berada di barisan hadapan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

"Fahmi merupakan pelajar tahun akhir daripada Fakulti Sastera dan Sains Sosial, dia bersama lapan mahasiswa yang lain akan dibawa ke Lembaga Tatatertib dalam masa terdekat berdasarkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 serta mengikut Perlembagaan Universiti," katanya ketika dihubungi Bernama.

Jelasnya, jumlah sebenar bilangan pelajar UM yang didapati terlibat belum dapat dipastikan namun rakaman CCTV itu telah dikongsi bersama institusi pengajian yang lain untuk proses pengecaman.

"Pelajar UM yang dikenal pasti akan disiasat oleh UM sendiri manakala selebihnya oleh institusi terlibat,"katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Muhammad Azlee Abdullah berkata suspek yang terlibat dalam perhimpunan itu kini sedang dikenal pasti berdasarkan bukti rakaman CCTV serta video.

Dalam insiden 27 Oktober lepas, kira-kira 300 belia termasuk beberapa pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) merempuh masuk pintu pagar UM pada 9.20 malam untuk acara pidato Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijadualkan berlangsung di Dataran Dewan Tunku Canselor.

Program itu tidak mendapat kebenaran UM dan pihak keselamatan universiti itu mengunci pintu pagar utama universiti.

No comments:

Post a Comment