ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: LOGIKKAH TELEFON BERJENAMA DIJUAL PADA HARGA MURAH ???

Tuesday 21 October 2014

LOGIKKAH TELEFON BERJENAMA DIJUAL PADA HARGA MURAH ???

Kelibat lelaki berbaju putih, (tengah) yang menjual telefon berjenama pada harga murah berjaya dirakam di sebuah kedai makan di Gong Balai.

MARANG - Pengguna telefon bimbit di negeri ini perlu berhati-hati terhadap wujudnya kumpulan menjual telefon bimbit berjenama terkenal namun dipercayai palsu yang dikesan mencari mangsa secara bersendirian di daerah ini.

Kumpulan penjual telefon bimbit berjenama itu turut dipercayai bergerak di sekitar daerah ini tetapi mencari mangsa secara bersendirian di tepi jalan utama dan di kedai makan tumpuan di kawasan kampung berdekatan laluan utama.

Malah, Sinar Harian sebelum ini turut dihampiri seorang lelaki berumur sekitar 20-an di dua tempat yang berasingan, iaitu di tepi laluan Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan di Merchang dan di sebuah kedai makan di Gong Balai, di sini.

Lelaki itu mendakwa datang dari Kuala Lumpur untuk menjual telefon dan bergerak menggunakan pengangkutan awam, namun hakikat sebenarnya penjual telefon terbabit menggunakan kenderaan sendiri.

Setelah mengekorinya, lelaki terbabit dilihat menaiki sebuah Perodua Myvi yang diparkir berhampiran tempat dia ditinggalkan dan kemudiannya berhenti berhampiran lokasi yang dipilih atau setelah mengenal pasti mangsa.

Penjual telefon bimbit terbabit juga dilihat menghampiri mangsa sebelum menunjukkan telefon bimbit berjenama yang ingin dijual termasuk menerangkan fungsi dan harga telefon berjenama yang didakwa masih baharu itu.

Ketika berada di sebuah kedai di Gong Balai di sini, penjual telefon bimbit terbabit menawarkan kepada pelanggan di kedai makan berkenaan satu unit telefon bimbit berharga melebih RM1,000 pada harga RM300 sahaja.

Telefon bimbit berjenama itu kemudiannya dibeli salah seorang pelanggan di kedai makan berkenaan pada harga RM200 sahaja setelah melalui proses tawar menawar.

Sehubungan itu, orang ramai diminta lebih berhati-hati dengan ejen penjualan model telefon bimbit berjenama yang dipercayai palsu itu, malah ia berkemungkinan dicuri apabila harga yang ditawarkan terlalu murah.

Malah, pengguna telah menjadi mangsa turut dinasihatkan agar membuat laporan polis.
SH

No comments:

Post a Comment