ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: KETUA POLIS NEGERI YANG GAGAL GEMPUR PERJUDIAN HARAM AKAN DITUKAR - KPN @KBAB51

Monday 27 October 2014

KETUA POLIS NEGERI YANG GAGAL GEMPUR PERJUDIAN HARAM AKAN DITUKAR - KPN @KBAB51


KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggempur habis-habisan kegiatan perjudian haram di seluruh negara dalam usaha menghapuskan jenayah itu sehingga ke akar umbi.

Utusan Malaysia difahamkan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar sendiri telah mengeluarkan arahan kepada semua Ketua Polis Negeri untuk melancarkan ‘peperangan’ terhadap pengusaha mesin judi yang dianggap oleh satu sumber sebagai satu tindakan drastik oleh pasukan berkenaan.

Melalui arahan tersebut, Khalid memberi tempoh seminggu kepada semua Ketua Polis Negeri menyelesaikan isu mesin judi.

“Jika gagal berbuat demikian, pegawai terlibat akan ditukarkan dalam tempoh 24 jam,” kata satu sumber di sini, hari ini.

Awang Selamat dalam ruangannya hari ini meminta Khalid bertindak tegas terhadap premis judi haram di seluruh negara yang sehingga kini belum nampak penyelesaiannya.

Sebelum ini beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Jaringan Melayu Malaysia (JMM) turut mendesak polis bertindak tegas bagi menangani isu tersebut dan mengheret mereka yang terlibat ke muka pengadilan.

Dalam pada itu, satu sumber lain mendedahkan, undang-undang berkaitan perjudian iaitu Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dianggap sudah ‘lapuk’ dan menjadi antara tiga faktor utama kegiatan judi haram di seluruh negara sukar dibanteras sekali gus seolah-olah kebal.

Dua lagi faktor adalah kelewatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat laman web perjudian dan kos menjalankan operasi mesin judi yang murah.

Menurut sumber, Akta Rumah Judi Terbuka 1953 hanya lebih berkesan terhadap kegiatan judi konvensional dan bukannya perjudian secara atas talian yang berleluasa di premis-premis judi ketika ini walaupun telah dilakukan pindaan.

“Akta tersebut mempunyai kelemahan khususnya dalam soal pendakwaan yang mana pihak berkuasa perlu membuktikan semasa tangkapan seseorang itu betul-betul sedang bermain judi dan sedang akses dengan laman web judi tersebut. Sedangkan pihak berkuasa telah ‘diteropong‘ oleh tonto hingga sukar menembusi premis terbabit.

“Pendakwaan terhadap pengusaha judi di bawah akta berkenaan juga sukar dilakukan ekoran tiada bahan bukti seperti peralatan judi (daun terup, wang pertaruhan, cip) selain golongan pengusaha menggunakan pihak ketiga untuk menyewa premis dan menggunakan warga asing sebagai penjaga premis.

“Ekoran tersebut, tauke-tauke judi ini boleh membuka kembali premis walaupun telah diserbu beberapa kali dan kalau pun didenda maksimum hanya RM10,000 bagi setiap mesin sedangkan keuntungan diperoleh adalah berlipat kali ganda,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengenai kelewatan SKMM, sumber itu berkata, pada bulan lalu Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menyerahkan 53 laman web perjudian yang digunakan secara berleluasa di premis-premis judi haram kepada suruhanjaya tersebut untuk disekat namun masih sehingga kini belum diambil sebarang tindakan.

“Hanya SKMM yang mempunyai kuasa menyekat laman-laman web itu kerana mereka sahaja yang mengawal perkara tersebut,” ujarnya sambil memberitahu, ia berbeza dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan syarikat utiliti lain kerana telah memberi kerjasama baik terhadap usaha membanteras kegiatan perjudian.

Tambah sumber itu, faktor yang turut ‘menghantui’ pihak berkuasa adalah kos rendah menyediakan premis judi iaitu antara RM400 dan RM500 bagi seunit komputer dari China namun boleh meraih keuntungan ribuan ringgit dalam tempoh satu malam, membuatkan tauke judi haram tidak serik membuka premis walaupun sudah beberapa kali diserbu.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Cawangan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Roslee Chik ketika dihubungi berkata, pihaknya telah melakukan secara purata antara 240 ke 260 serbuan setiap hari terhadap premis judi di seluruh negara sejak awal tahun lalu.

“Daripada jumlah itu, 40 ke 50 peratus serbuan sahaja berjaya dan selebihnya gagal disebabkan beberapa faktor seperti operasi telah dihidu oleh tonto.

“Namun, pihak polis tidak pernah berhenti melakukan operasi tersebut walaupun berdepan pelbagai kekangan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. - UM

No comments:

Post a Comment