ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: PERJUANGAN YANG LEBIH BESAR ADALAH MELAWAN NAFSU !!!

Friday, 6 June 2014

PERJUANGAN YANG LEBIH BESAR ADALAH MELAWAN NAFSU !!!


Tugas melawan hawa nafsu bukanlah suatu yang mudah. Suatu saat ketika para sahabat dan Rasulullah SAW kembali dari perang Badar, Nabi SAW bersabda:

“Kita kembali dari perjuangan kecil, menuju kepada perjuangan yang lebih besar iaitu perjuangan terhadap hawa nafsu.” (HR al-Baihaqy)

Menyelaraskan hawa nafsu dengan apa yang Rasulullah SAW dan Allah SWT kehendaki amat berat kerana 4 perkara:

1.Hawa nafsu tidak terlihat

2.Hawa nafsu adalah sebahagian dari diri manusia itu sendiri

3.Dorongan dan pengaruh hawa nafsu tidak pernah berhenti sepanjang hayat manusia

4.Kita tidak diizinkan Allah untuk menghentikannya tetapi sekadar menaklukinya. 

Justeru Nabi SAW menyimpulkan bahawa:

“Musuhmu yang paling ganas ialah nafsumu sendiri yang berada antara dua sisimu.” (HR al-Baihaqy)

Mereka yang sanggup melawan nafsu ialah mereka yang percaya kepada akhirat serta hari pembalasan. Inilah kekuatan dan keyakinan yang harus ada pada umat Islam. Keyakinan ini menjadikan mereka golongan yang sanggup mengetepikan keseronokan sementara demi untuk mencapai matlamat jangka panjang yang kekal abadi. Denis Waitley dalam Empires of the Mind berkata, “Saya berpendapat, salah satu punca utama yang menyebabkan Amerika bermasalah besar pada hari ini ialah, rakyatnya begitu asyik dan ghairah dengan keseronokan jangka pendek dan melupakan kepentingan jangka panjang.”

Ternyata kegagalan manusia dalam mengurus hawa nafsu mereka akan melahirkan masyarakat yang rosak. Allah SWT telah berfirman dalam surah Yusuf ayat 53 yang bermaksud: 

“Sesungguhnya nafsu itu sangat mengajak kepada kejahatan”. 

Ini menunjukkan penekanan yang tegas bahawa nafsu membawa kepada kejahatan. 

Dalam Al-Asas fit Tafsir, Said Hawa berkata, “Takwa adalah hasil daripada hidayah dan hidayah adalah hasil daripada mujahadah. Justeru mujahadah melawan hawa nafsu adalah titik permulaan kepada takwa. Antara amalan yang membantu usaha untuk melawan hawa nafsu ialah bacaan Al-Quran, solat dan zikir. Nabi ketika disoal tentang jalan untuk mencapai syurga telah menjawab, ‘Bantulah dirimu dengan banyak bersujud’. Banyak bersujud bermaksud banyak bersolat dan banyak bersolat bermaksud banyak berzikir dan membaca Al-Quran.”

Berbahagialah seorang hamba yang sentiasa mengenal dirinya dan musuhnya dan selalu berusaha untuk memperbaiki dirinya. Dialah hamba beruntung kerana semakin dia bersungguh-sungguh mengurus jiwa dan hatinya dengan keimanan kepada Allah, dan membersihkan hatinya dari gejolak hawa nafsu maka insyaallah dia akan semakin dekat dengan kepada ampunan Allah SWT dan kasih sayang Allah SWT.

"Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar berserta dengan orang-orang yang berbuat baik." (al-Ankabut: 69)



No comments:

Post a Comment