ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: PASANGAN MALAYSIA DI SWEDEN BAKAL DIBEBASKAN JULAI DAN SEPTEMBER

Tuesday, 3 June 2014

PASANGAN MALAYSIA DI SWEDEN BAKAL DIBEBASKAN JULAI DAN SEPTEMBER


KUALA LUMPUR: Pasangan Malaysia Azizul Raheem and Shalwati Nor Shal yang dipenjarakan di Sweden atas dakwaan mendera empat anak mereka pada Disember lepas, akan dibebaskan pada Julai dan September ini, secara berasingan.

Pasangan Malaysia di Sweden bakal dibebaskan Julai dan SeptemberPerkara tersebut dimaklumkan oleh Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menerusi laman Facebooknya, pada Isnin.

"Alhamdulillah kira-kira jam 1.25 petang kami dapat bertemu Puan Shalwati dan menghabiskan waktu berbual-bual dan bertanya khabar hingga jam 3.00 petang.

"Beliau sihat dan gembira mendengar berita keluarga dan anak-anaknya di Kelantan (kawasan parlimen Ketereh). Saya turut menyampaikan surat-surat yg dikirim anak anak saya pada cikgu mereka... insyaAllah suaminya bakal bebas Julai ini dan Shalwati akhir September," kata beliau.

Menurut Annuar dalam kenyataannya itu, beliau telah pergi melawat Shalwati di penjara Anstalten Hinseberg pada hari yang sama dengan perjalanan selama tiga jam berkereta dari Stockholm.

"Tapi akhirnya dengan bantuan pegawai kedutaan yg mengiringi saya, Ms Gloria kami sampai juga di sana. Puan Shalwati telah di pindahkan ke penjara ini dari penjara di Stockholm.

"Pegawai penjara sangat berbudi bahasa tetapi sangat tegas. Pemeriksaan dokumen dan badan agak ketat... hanya tiga orang dibenarkan masuk," jelas beliau yang juga ahli Majlis Tertinggi UMNO itu.

Annuar dalam pada itu, memanjatkan doa kepada pasangan tersebut agar tabah menghadapi hukuman di perantauan di bawah undang-undang yang disifatkannya "agak asing dan berbeza" dari Malaysia.

Shalwati, seorang guru pada cuti tanpa gaji yang ditahan kerana didakwa melanggar integriti keempat-empat anaknya di rumah mereka di Spanga, Sweden, telah didapati bersalah dan dihukum penjara selama 14 bulan oleh Mahkamah Daerah Solna.

Azizul Raheem Awaluddin telah dijatuhi hukuman penjara 10 bulan kerana mendera tiga anak-anaknya dan dia telah dibebaskan daripada apa-apa kesalahan terhadap anak bongsunya.

Kedua-dua Shalwati dan Azizul perlu membayar ganti rugi kepada anak-anak mereka. Pasangan ini belum bertemu dengan kempat-empat anak mereka sejak ditahan 18 Disember lalu.

Anak-anak mereka Aisyah, 14, Ammar 12, Adam 11 dan Arif 7, yang kini di bawah jagaan ibu saudara mereka di Kelantan telah dibawa pulang dari Sweden oleh Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin, pada Februari lalu.

Sweden adalah negara pertama di dunia yang mengharamkan hukuman dera kanak-kanak pada tahun 1979 dan sejak itu telah diikuti oleh 36 negara-negara lain.

No comments:

Post a Comment