ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: MEROKOK ADALAH HARAM !!!

Wednesday, 4 June 2014

MEROKOK ADALAH HARAM !!!


SHAH ALAM - Majlis Fatwa telah memutuskan merokok adalah diharamkan sejak ia diwartakan pada 1995, tetapi masih ramai memandang ringan terhadap fatwa tersebut.

Pengerusi Pertubuhan Muttaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia (Murshid), Dr Zaharuddin Abdul Rahman berkata,  fatwa juga memutuskan bahawa merokok adalah haram kerana boleh mendatangkan kemudaratan.

Justeru menurutnya, bagi yang terus merokok terutama orang Islam, ia jatuh haram dan berdosa besar kerana tidak meninggalkan perkara yang ditegah oleh agama.

“Sekiranya perokok itu sedang berusaha untuk berhenti daripada ketagihan merokok, ia telah jatuh kepada hukum makruh.

“Ia berdasarkan pandangan sesetengah ulama, yang meringankan hukum itu kepada mereka yang berusaha untuk berhenti daripada tabiat tidak berfaedah itu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas apakah hukumnya jika terdapat DNA babi pada puntung rokok, tetapi ramai orang Islam tidak berhenti menghisapnya.

Mengulas lanjut, katanya, rokok telah diketahui mengandungi pelbagai racun di dalamnya yang boleh menjejaskan kesihatan, justeru ia wajib dielakkan.

“Dari segi penjualan juga masih berleluasa sehingga mudah untuk diperoleh, baik rokok murah atau mahal seterusnya membuka ruang perokok untuk terus menikmatinya,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin berkata, rokok tetap haram walaupun fatwa yang dikeluarkan tidak menggariskan mengenai DNA babi terkandung pada putung rokok.

Beliau berkata, jika terbukti benar terdapat DNA babi pada rokok, maka setiap umat Islam wajib untuk berhenti merokok.

"Namun, jika tiada DNA babi pada rokok pun, sebenarnya dah jatuh hukum haram kerana kandungannya telah haram.

"Beberapa kandungan yang terdapat dalam rokok seperti tar dan nikotin telah disahkan oleh doktor memudaratkan kepada penghisapnya dan jika benar ada DNA babi, maka lagi haram untuk perokok menghisapnya," katanya.

Menurutnya, kandungan dalam fatwa haram berkaitan rokok yang telah dikeluarkan menyentuh kepada beberapa aspek sehingga rokok dikategorikan sebagai haram.

Penceramah bebas, Dr Abd Basit Abd Rahman pula berkata, berdosa besar bagi yang terus merokok kerana ia salah satu maksiat.

“Kempen pencegahan yang kurang dilakukan kerajaan juga, menyebabkan gejala rokok ini tidak dapat dihentikan walaupun dikatakan mengandungi bahan-bahan haram di dalamnya.

“Ketegasan kerajaan amat penting dalam usaha membanteras orang Islam terutamanya terus menghisap rokok,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment