ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: PAS MAMPU BERJUANG SENDIRIAN TANPA DAP & PKR - MOHD AMAR

Thursday 2 April 2015

PAS MAMPU BERJUANG SENDIRIAN TANPA DAP & PKR - MOHD AMAR


KOTA BARU: Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, PAS mampu berjuang bersendirian walaupun disingkirkan daripada pakatan pembangkang.

Mohd Amar yang juga Anggota Jawatankuasa PAS Pusat itu berkata PAS pernah melalui zaman sukar selepas keluar daripada Barisan Nasional, namun mampu bangkit dan menawan Kelantan pada pilihan raya umum ke-8 pada 1990.

"Jadi kalau kawan-kawan kita (DAP dan Parti Keadilan Rakyat) berkeras untuk berpecah, maka kita tak ada pilihanlah.

"Kita sudah ada pengalaman berbanding orang lain dan kita pernah menang Kelantan ini bersendirian, kita sudah ada rekod itu, bukan kita nak berbangga," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Exco di Kota Darul Naim di sini, Rabu.

Beliau mengulas krisis pakatan pembangkang kini berikutan penentangan DAP dan PKR terhadap rang undang-undang persendirian berkaitan hudud.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebelum ini mengumumkan keputusan parti itu untuk memutuskan hubungan dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berikutan tindakannya yang bertegas mahu melaksanakan hudud di Kelantan.

Ini disusuli tindakan drastik DAP Sarawak yang mengumumkan keluar daripada pakatan pembangkang di negeri itu minggu lepas atas alasan sama, manakala PKR dan DAP Sabah turut mengumumkan keputusan sama, kelmarin.

Mohd Amar berkata DAP dan PKR perlu belajar bertolak ansur serta menghormati dasar parti rakan dalam pakatan itu.

"Sebagaimana PAS bertolak ansur dalam isu PBT (pilihan raya pihak berkuasa tempatan di Pulau Pinang), maka kita harap DAP pun bertolak ansurlah.

"Menyerang Presiden PAS ini sikap tidak bijaksana dalam hubungan, kita tak serang peribadi dan tidak serang pimpinan DAP," katanya.- Bernama

No comments:

Post a Comment