ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: DAP KECEWA SEGELINTIR PEMIMPIN PAS BANTAH OKTORBERFEST

Friday 10 October 2014

DAP KECEWA SEGELINTIR PEMIMPIN PAS BANTAH OKTORBERFEST


Pemuda DAP (DAPSY) melahirkan rasa kesalnya terhadap sesetengah pemimpin PAS yang telah mendesak kerajaan Pakatan Selangor untuk membatalkan program Oktoberfest.
Menurut Ketua DAPSY, Teo Kok Seong, yang juga merupakan Ahli Parlimen Rasah, mereka (sesetengah pemimpin PAS) harus memahami bahawa PAS merupakan sebahagian daripada kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, dan mereka harus menggunakan saluran yang betul untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak kerajaan negeri agar perkara ini dapat diselesaikan dengan baik tanpa menyinggung perasaan semua pihak.
“Desakan sesetengah pemimpin PAS yang dilakukan secara terbuka cuma akan mengeruhkan lagi hubungan kerjasama di antara PAS, PKR dan DAP.
“Tambahan lagi, ia juga akan mengelirukan rakyat jelata yang selama ini saling hormat-menghormati.
“Saya cukup yakin bahawa rakyat di negara kita yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama mempunyai pemikiran yang cukup matang untuk mentafsir isu ini.
“Selain itu, saya juga menghargai usaha YB Khalid Samad yang mempertahankan prinsip Islam yang menghormati hak bukan Islam untuk mengikut adat dan budaya masyarakat mereka.
“Akhirnya, dengan adanya penjelasan dan pengumuman langkah-langkah yang akan diambil oleh pihak kerajaan negeri Selangor, tibalah masa untuk kita semua kembalikan tumpuan kita untuk terus memperjuangkan nasib rakyat yang terhimpit dengan kos sara hidup yang tinggi,” kata beliau.
Pada Rabu, Dewan Ulama PAS Pusat  amat kesal di atas penganjuran yang beliau difahamkan pihak kerajaan Selangor sendiri tidak pernah meluluskan penganjuran Oktoberfest.
"Syarikat Carlsberg mesti memohon maaf secara terbuka jika tidak pihak kerajaan Selangor mesti mengambil tindakan tegas di atas sikap mencemarkan sensitiviti umat Islam yang pada ketika ini umat Islam sedang meraikan sambutan hari raya Aidiladha," ujar pemanku Ketuanya Datuk Ahmad Yaakob.
Kecaman dan tekanan yang diberikan oleh pelbagai pihak menyebabkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) semalam akhirnya bertindak menolak permohonan permit penganjuran pesta mabuk arak Oktoberfest yang dijadualkan berlangsung Jumaat hingga Ahad ini di ruang letak kereta pusat beli-belah 1 Utama, Bandar Utama.
Datuk Bandar Petaling Jaya, Datin Paduka Alinah Ahmad berkata, MBPJ memang ada menerima permohonan daripada pihak penganjur untuk mengadakan pesta tersebut, tetapi ia ditolak kerana tidak menepati syarat-syarat yang ditetapkan.
“Pihak kami tidak pernah mengeluarkan sebarang permit kepada mana-mana pihak untuk menganjurkan pesta arak Oktoberfest.
“Walaupun pihak penganjur ada menghantar permohonan kepada kami, tetapi ia tidak diluluskan atas beberapa alasan seperti tidak mendapat kebenaran pihak polis dan dibuat di kawasan terbuka.
“Kami tidak akan sesekali mengeluarkan permit kepada penganjur sekiranya syarat-syarat yang ditetapkan tidak dipatuhi,” ujar beliau ketika menerima memorandum bantahan daripada tiga Ahli Parlimen yang mewakili Dewan Ulama PAS Pusat Rabu.
AgendaDaily-10/10/2014

No comments:

Post a Comment