ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: DIUMPAN BEKERJA DENGAN GAJI LUMAYAN, AKHIRNYA DIJUAL KEPADA BAPA AYAM !!!

Saturday, 18 October 2014

DIUMPAN BEKERJA DENGAN GAJI LUMAYAN, AKHIRNYA DIJUAL KEPADA BAPA AYAM !!!


Klang: 

“Saya tidak sangka akan bergelumang dengan dosa dan diperhambakan sebagai pemuas nafsu lelaki. Lebih memilukan apabila saya dijual rakan baik sendiri untuk dijadikan pelacur kepada seorang bapa ayam."

Itu luahan kekecewaan seorang wanita berasal dari Bandung, Indonesia yang dikenali sebagai Lin, 26, apabila diperdaya rakan baiknya yang pada awalnya menawarkan pekerjaan sebagai pembantu restoran di negara ini dengan gaji yang jauh lebih tinggi dari negara asalnya.

Beliau baru tujuh hari tiba di negara ini dengan bot di Pelabuhan Klang dengan harapan mencari rezeki untuk keluarganya di kampung.

Namun, telahannya ternyata meleset apabila sebenarnya sudah dijual kepada satu sindiket pelacuran dan dibawa ke sebuah hotel di bandar ini oleh rakannya sebelum dikurung seorang bapa ayam.


Foto

Seeorang anggota polis memeriksa wanita warga asing yang diselamatkan.

“Sejak tiba di hotel berkenaan, saya dipaksa menjadi pelacur dan perlu melayan sehingga tiga pelanggan setiap hari. Dalam tempoh seminggu, sudah 14 lelaki yang terpaksa dilayan.

“Sepanjang tempoh itu, saya dikurung di dalam sebuah bilik kecil di dalam hotel ini bersama 10 lagi wanita sekiranya kami tidak mempunyai pelanggan,” katanya ketika ditemui, semalam.

Katanya, dia ada beberapa kali menyuarakan hasrat kepada bapa ayam yang menjaganya untuk membebaskannya, namun lelaki terbabit memaksanya membayar RM4,000 yang didakwa sebagai ‘hutang’ sebelum boleh berbuat demikian.

Namun, nasib menyebelahi Lin apabila dia bersama 53 lagi wanita masing-masing warga tempatan, Indonesia, Vietnam dan China yang dieksploitasi sebagai hamba seks di tiga hotel di bandar ini berjaya diselamatkan.

Semua mereka berusia 20 hingga 36 tahun itu diselamatkan Unit Anti-Pemerdagangan Orang (ATIP) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman dalam satu operasi khas, awal pagi semalam yang diketuai Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Bukit Aman, Datuk Abd Jalil Hassan. 

Abd Jalil berkata, seramai 54 wanita yang berjaya diselamatkan masing-masing 42 orang dari Indonesia, Vietnam (lapan), China (satu) dan warga tempatan (tiga) yang dieksploitasi sebagai hamba seks di tiga hotel di bandar Klang.

Menurutnya, wanita yang berjaya diselamatkan ditempatkan di bilik kecil yang dihuni kira-kira 10 orang.

Beliau berkata, kebanyakan wanita mendakwa mereka ditipu sindiket dan individu tertentu yang menjanjikan pekerjaan, namun sebaik tiba mereka diarahkan melacur.

No comments:

Post a Comment