ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: {UPDATES} (6 GAMBAR) 14 CEDERA DALAM LETUPAN DI JALAN BUKIT BINTANG

Thursday 9 October 2014

{UPDATES} (6 GAMBAR) 14 CEDERA DALAM LETUPAN DI JALAN BUKIT BINTANG



Media sosial samada twitter, FB dan whatapps pagi ini digemparkan dengan kejadian letupan bom dipercayai bom tangan depan Sun Complex di Jalan Bukit Bintang,Kuala Lumpur.

Kejadian jam 4.30 pagi itu menyebabkan seorang parah dan 14 lagi dilaporkan cedera.

Sun Complex terletak berdekatan dengan Sungai Wan Plaza dan Plaza Low Yat yang merupakan pusat membeli belah popular di Bukit Bintang. Difahamkan, empat kenderaan juga rosak dalam kejadian tersebut.

Dipercayai letupan itu berpunca dari bom jenis hand grenade (bom tangan) yang dicampak dari tingkat dua bangunan ke bawah, sebiji meletup dan sebiji lagi ditemui tidak meletup di bawah kereta.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Gan Kong Meng mengesahkan letupan di Jalan Bukit Bintang itu.

Sementara itu, polis akan membuat siasatan menyeluruh berhubung kes letupan itu, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, siasatan sedang dijalankan polis dan masih terlalu awal untuk mengaitkan kejadian dengan sebarang kemungkinan termasuk tindakan pengganas.

{UPDATES}

Joki kereta maut, 12 cedera letupan di hadapan kelab malam

KUALA LUMPUR 9 Okt - Seorang pekerja joki kereta maut dan 12 lagi cedera termasuk pelancong asing, dalam serangan bom `molotov cocktail' dipercayai melibatkan perebutan kawasan kumpulan kongsi gelap di hadapan sebuah kelab malam, Sun Complex, Bukit Bintang, hari ini.

Ia dipercayai kejadian serangan bom pertama di pusat hiburan di negara ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Gan Kong Meng ketika dihubungi Bernama mengesahkan kematian lelaki itu dan identitinya ialah Tiong Kwong Yie, 36.

Unit Perhubungan Awam Hospital Kuala Lumpur (HKL) dalam kenyataannya hari ini berkata pekerja joki berkenaan meninggal dunia ketika menjalani pembedahan akibat kecederaan parah yang dialami mangsa.

``Daripada 13 mangsa letupan bom itu, 11 orang menerima rawatan di HKL, manakala dua lagi dirawat di hospital Gleneagles, di sini,'' katanya.

Kenyataan itu juga berkata daripada 13 mangsa itu, tujuh merupakan rakyat tempatan, empat warga China, Singapura (satu) dan Thailand (satu).

Menurut HKL lagi 11 mangsa telah dibawa ke Jabatan Kecemasan dan Trauma HKL dengan dua mangsa sedang mendapatkan rawatan resusitasi manakala lapan lagi dirawat di Intermediate Care Ward kerana cedera ringan.

Terdahulu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ACP Khairi Ahrasa berkata kepada pemberita dalam kejadian kira-kira 4.20 pagi itu, terdapat individu tidak dikenali telah melemparkan dua bom berkenaan dari aras dua tempat letak kereta bangunan Sun kompleks itu.

``Suspek dipercayai membalingkan bom dari tingkat atas bangunan. Satu daripada bom itu meletup di hadapan kelab malam. Satu lagi tidak meletup dan berada di bawah kereta Toyota Camry, yang terletak berhadapan kelab malam tersebut,'' katanya.

Tinjauan Bernama di tempat kejadian mendapati kawasan letupan itu telah ditutup kepada umum untuk siasatan membabitkan unit pakar bom daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Unit Tunda Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi mengalihkan kereta di tempat kejadian dan sebuah jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Hang Tuah.

Terdapat empat kenderaan diletakkan di hadapan kelab malam tersebut iaitu masing-masing sebuah Toyota Vellfire, Mazda, BMW dan Toyota Camry.

Vellfire berkenaan tertanggal bumper hadapannya akibat letupan itu dan kelihatan tompok-tompok hitam di atas jalan berhampiran kenderaan tersebut termasuk serpihan kaca.

Bom kedua diletupkan oleh unit pemusnah bom pada 12.35 tengah hari tadi.

Premis berdekatan di tempat kejadian antaranya Public Bank, Pusat Beli-Belah Hai-O turut ditutup sementara, ketika operasi meletupkan bom kedua dijalankan.

Pengurus Hotel Federal, Shaun Sylvester, 29, berkata beliau terkejut mendengar letupan kuat berlaku di luar hotel berkenaan pada awal pagi tadi.

``Saya menyuruh pengawal keselamatan hotel menyiasat apa yang berlaku dan mereka memaklumkan berlaku kejadian letupan.

``Saya lihat orang ramai berkumpul di lokasi kejadian, ada yang terbaring berlumuran darah dan ada yang panik dengan suasana itu," katanya kepada Bernama.

Katanya, beberapa pemandu teksi dan orang ramai bertindak menghantar mangsa yang cedera ke hospital.

Bagi Kamarul Baharin, 41, pemandu pelancong menyatakan rasa bersyukur kerana terselamat ketika baru mengambil pelanggannya di kawasan berkenaan.

``Saya mahu ambil orang di Hotel Capitol...van saya baru sahaja melepasi selekoh di lokasi kejadian ketika letupan itu berlaku...mujur selamat, jika tidak pecah cermin van ini,'' katanya.

Beliau berkata sepanjang berkhidmat sebagai pemandu pelancong di kawasan itu sejak setahun lalu, ini merupakan kejadian pertama seumpama itu berlaku. - BERNAMA
Letupan Bom Jalan Bukit Bintang

No comments:

Post a Comment